Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 4 ZULKAEDAH – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan Presiden Urimai, Prof Dr P Ramasamy yang mendakwa agenda UMNO dalam Barisan Nasional (BN) menjadi punca MCA dan MIC semakin kehilangan sokongan.
Akmal menegaskan, UMNO tidak pernah menggunakan retorik agenda agama, bangsa dan raja-raja Melayu.
Katanya ia bukan seperti pemikiran bekas Ketua Menteri II Pulau Pinang itu yang hanya menunggang agenda terbabit demi meraih undi.
“Bagi kami, tiada kompromi mengenai agama, bangsa dan raja-raja Melayu waima dengan siapa pun kami berkawan.
“Dan itu bezanya UMNO dengan parti lain.
“Jika mempertahankan Islam dan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan yang menyebabkan kamu tidak mahu menyokong UMNO, silakan, kami pun tak kisah,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Tegas Akmal, Malaysia adalah negara yang agama Persekutuannya ialah Islam dan hak-hak orang Melayu termaktub dalam Perlembagaan.
“Maka tolong hormat perkara tersebut sebelum mahu kami hormat kamu!” tambah beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi