Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 13 RAMADAN – Pemuda MCA, sedia menyahut cabaran Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin untuk berdebat isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, beliau bersedia untuk berdepan dengan wakil rakyat dari DAP itu, malah terbuka untuk berdebat sama ada dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Kantonis atau Sepanyol.
‘Sekiranya kamu ingin berdebat, kami di MCA baik (cabang) Pemuda, Wanita atau MCA sekali pun, sedia menyahut cabaran kamu (Chong).
“Kita berdebat secara terbuka.
“Bukan sahaja dalam skandal MAHB, KWSP sahaja, kalau nak debat skandal-skandal rasuah termasuk pemimpin-pemimpin kamu, dipersilakan,” katanya dalam video TikTok beliau hari ini.
Pada Rabu lalu, Chong mencabar Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk berdebat mengenai kerugian yang didakwa ditanggung oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam perjanjian penswastaan melibatkan MAHB.
Sementara itu pada Februari lepas, Chong berkata bahawa beliau bersedia bersara daripada politik jika Wee dapat membuktikan KWSP mengalami kerugian kewangan.
Pad 6 Mac lalu, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam mendedahkan bahawa usul yang difailkan Chong untuk merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat telah ditolak.
Jelasnya, hujah utama yang dibahaskan di Dewan Rakyat mengenai KWSP mengalami kerugian akibat tindakan menjual murah dan membeli balik saham MAHB pada harga yang lebih tinggi kini diputuskan tidak mengelirukan Dewan Rakyat.
“Ini bermakna KWSP memang mengalami kerugian akibat tindakan tersebut.
“Memandangkan YB Kampar telah berjanji dalam Dewan Rakyat untuk meletakkan jawatan sekiranya KWSP rugi walau satu sen pun, maka beliau sepatutnya menunaikan janji tersebut bagi menjaga integriti Parlimen dan memastikan Dewan Rakyat tidak dikelirukan oleh kata-kata dan janji beliau,” kata Ka Siong dalam hantaran di Facebook pada 6 Mac.
#debat #DAP #MCA #MAHB #KWSP
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi