Oleh Akmal Ahmad
BANGI, 26 SYAWAL – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat permohonan maaf berhubung dakwaan kenyataan enggan melepaskan pegangan amanahnya pada hartanah UMNO.
Peguam Dr Mahathir, Rafique Rashid Ali berkata, satu notis tuntutan (LOD) telah dikeluarkan kepada pemimpin UMNO itu meminta permohonan maaf berkenaan dibuat dalam tempoh tujuh hari bermula hari ini.
Menurut LOD itu, Zahid perlu membuat satu sidang media secara terbuka di Ibu Pejabat UMNO dan juga di Pejabat Timbalan Perdana Menteri dengan jemputan media arus perdana serta media sosial.
“Zahid hendaklah menyiarkan permohonan maaf secara terbuka dan secara bertulis di dalam akhbar-akhbar berita dan juga di semua platform media sosial rasmi beliau dan kekalkan siaran tersebut untuk tempoh sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.
“Tun Mahathir merizabkan haknya untuk mengambil tindakan undang-undang berkaitan perkara ini sekiranya difikirkan suaimanfaat dan perlu, termasuk kepada pihak-pihak lain,” katanya.
Terdahulu, Zahid menafikan beliau menuduh Mahathir enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah aset milik parti itu.
“Saya tidak pernah menyebut nama beliau. Apabila ditanya wartawan, saya sebut seseorang (berhubung status tandatangan pindah milik tanah UMNO),” katanya memetik FMT.
Mahathir yang juga bekas presiden UMNO sebelum ini dilaporkan berkata, tak timbul beliau tidak mahu melepaskan harta parti kerana beliau tandatangan surat akuan bagi permohonan kebenaran untuk pindah milik harta, bertarikh 27 Okt 2015.
Surat akuan itu, ditandatangani oleh beliau dan tiga pemegang amanah lain, dinyatakan dalam afidavit sokongan kepada saman yang difailkan oleh UMNO, katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi