PN tak setuju pamer harga ubat secara terbuka di klinik atau hospital

Oleh Akmal Ahmad 

 

BANGI, 4 ZULKAEDAH – Tidak perlu pamer harga ubat secara terbuka di klinik atau hospital, kata Pengerusi Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

 

Beliau berkata, harga dan jenis ubat yang dinyatakan dengan jelas dalam resit atau slip pesakit sudah memadai untuk pesakit membuat perbandingan atau mendapatkan maklumat lanjut sekiranya mereka mahu. 

 

“Arahan mempamerkan harga ubat secara terbuka di premis perubatan swasta adalah keterlaluan dan tidak mengambil kira realiti operasi perkhidmatan kesihatan.

 

“Menteri Kesihatan sepatutnya mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar ini dan memberikan perhatian serius terhadap saranan Malaysia Medical Association (MMA) yang mewakili suara majoriti pengamal perubatan swasta di negara ini.

 

“Perlu difahami bahawa perkhidmatan di hospital dan klinik (sama ada swasta atau kerajaan) melibatkan proses diagnosis, rawatan penyakit, pemberian ubat-ubatan serta khidmat nasihat kesihatan, yang dikenakan caj tertentu. 

 

“Tidak seperti farmasi, hospital dan klinik tidak berfungsi sebagai tempat jualan ubat secara terbuka, justeru amalan memaparkan harga ubat seperti di farmasi tidak wajar disamakan,” katanya dalam kenyataan di media sosial. 

 

Menurut Dr Yunus, beliau telah membangkitkan isu itu dalam sidang Parlimen yang lalu isu berkaitan fi perundingan pengamal perubatan am (GP) yang tidak dikaji semula sejak lebih 30 tahun.

 

Perkara berkaitan antara tuntutan utama MMA, yang mewakili ribuan pengamal perubatan serta klinik swasta di seluruh negara. Pandangan dan saranan MMA wajar dihormati dan diambil serius oleh pihak kerajaan.

 

“Menurut Presiden MMA, Dr Kalwinder Singh Khaira, dalam pertemuan bersama Menteri Kesihatan pada Februari lalu mengenai isu ketelusan harga ubat, Menteri telah memberi jaminan bahawa arahan mempamerkan harga ubat di kemudahan perubatan swasta hanya akan dilaksanakan selepas semakan semula kadar fi GP dibuat. 

 

“Namun sehingga kini, tiada sebarang semakan dilakukan, dan malangnya tiada sesi libat urus susulan bersama MMA serta pihak berkepentingan lain seperti yang dijanjikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.

 

“Selain itu, peraturan ini sepatutnya dikuatkuasakan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 dan bukannya menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, yang kurang sesuai dengan konteks perkhidmatan kesihatan,” katanya. 

 

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM)  serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dalam kenyataan bersama memaklumkan Inisiatif Penandaan Harga Ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti berkuat kuasa hari ini selaras dengan komitmen Kerajaan Madani untuk melaksanakan agenda ketelusan harga melalui Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).

 

Pelaksanaan inisiatif itu bagi memastikan rakyat mempunyai pilihan bermaklumat dengan mengetahui, membuat perbandingan dan memilih harga terbaik dalam merancang perbelanjaan ubatan.

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

UMNO terima DAP adalah pengkhianatan di mata MCA, MIC – Ramasamy

Next Post

Dakwa UMNO punca MCA, MIC merosot, Akmal ‘sekolahkan’ Ramasamy

Related Posts