Oleh Akmal Ahmad
BANGI, 4 ZULKAEDAH – ARMADA BERSATU Malaysia melahirkan kekhuatiran berhubung keputusan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang dilaporkan sedang bercuti selama sebulan sehingga 31 Mei, ketika negara sedang berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan pelaburan.
Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid berkata, Malaysia sedang menghadapi peperangan dagang akibat pengumuman kenaikan tarif import ke Amerika Syarikat (AS) sebanyak 24%.
“Rakyat Malaysia tentunya berharap agar Menteri yang memegang portfolio berkaitan Pelaburan, Ekonomi, Industri untuk mengerahkan seluruh usaha dan komitmen untuk memastikan ekonomi dan industri Malaysia tetap kukuh dan mampu mengawal kemunduran.
“Dengan ketiadaan Menteri Ekonomi selama sebulan yang kritikal, banyak perkara polisi yang akan diputuskan oleh kerajaan. ARMADA berpendapat bahawa ini adalah satu langkah yang tidak bertanggungjawab terhadap negara dan nasib rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Harris, ARMADA juga mengesyaki bahawa pengambilan cuti ini juga disebabkan oleh kekalahan pemimpin-pemimpin pro Rafizi dalam pemilihan Jawatankuasa peringkat cabang seluruh Malaysia yang baru selesai.
“ARMADA ingin memberi amaran kepada semua anggota kabinet untuk tidak mencampuradukkan isu dalaman parti dan pemerintahan negara ini.
“Rakyat tidak bersalah dalam keraguan keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), maka jangan menghukum rakyat dengan menunjukan tanda protes,” katanya.
ARMADA juga menyeru agar Perdana Menteri membatalkan kelulusan cuti Menteri Ekonomi selama sebulan kerana negara memerlukan semua anggota jemaah menteri khususnya berkaitan ekonomi untuk berkhidmat dan mencari solusi terbaik.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi