Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Selasa – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan tindakannya menyuarakan isu berkaitan isu sandwic ‘ham dan cheese’ yang tular semalam bukan kerana ingin menjadi ‘hero’.
Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkata, perkara itu dibangkitkan kerana ia soal tanggungjawab umat Islam untuk menyampaikan perkara yang betul.
“Saya juga mahu ingatkan ketua DAPSY ini. Ini bukan soal jadi hero,
“Ini soal apabila ada orang cuba menipu dan mengkhianati kepercayaan orang lain untuk menjual produk dengan menipu label halal walaupun hakikatnya mereka tidak dapat langsung sijil halal. Ini juga salah di sisi undang-undang.
“Adakah DAPSY (Pemuda Sosialis DAP) juga menyokong tindakan yang salah di sisi undang-undang ini?” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Akmal memuat naik hantaran itu bagi membidas kenyataan yang dibuat oleh Ketua DAPSY, Woo Kah Leong yang mengingatkan supaya pemimpin UMNO itu tidak bertindak sebagai batu api untuk memecahbelahkan rakyat.
Semalam, Akmal menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan susulan penemuan sandwic ‘ham dan cheese’ yang memaparkan logo halal oleh mahasiswa Universiti Malaya (UM) sebelum mereka membuat laporan polis pada 10 Januari lepas.
Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan bahawa produk makanan itu tidak mengandungi Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk tersebut bukan pemegang SPHM.
Syarikat rangkaian KK Mart pula tampil menjelaskan bahawa sandiwc itu menggunakan ‘Chicken Ham’ iaitu kepingan daging awam dan ia hanya dijual pada 16 cawangan KK Concept Store termasuk yang terdapat di dalam UM.
Selain itu, pihak KK Mart juga menyatakan bahawa syarikat terbabit telah membekukan urusan perniagaan bersama syarikat pembekal serta menghentikan segala pemprosesan produk itu daripada masuk ke mana-mana cawangan dalam tempoh siasatan berjalan.
Sementara itu, Akmal mengingatkan Kah Leong, supaya tidak masuk campur berhubung isu terbabit sekiranya tidak faham soal sensitif orang Melayu Islam di negara ini.
“Kalau tak faham soal sensitif orang Islam dan Melayu di tanah air ini, lebih elok jangan jadi pemimpin.
“Pergi jual sandwic ham lebih bagus la bro,” kata Akmal.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI