Hassan: Kroni, kapitalis Anwar lebih besar banding Tun Mahathir

Oleh Wartawan TV Pertiwi

 

Ahli Parlimen PKR mendakwa rangkaian kapitalis kroni yang dibangunkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih meluas berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad. 

 

Hassan Karim berkata jika Dr Mahathir sekadar membina kapitalis kroni dalam kalangan rakyat, Anwar membina tiga rangkaian lebih besar.

 

“Golongan pertama ialah kapitalis kroni yang terbina sejak zaman pentadbiran Dr Mahathir yang semakin matang dan berpengalaman. 

 

“Mereka kini terus wujud mengelilingi dan menumpahkan kesetiaan dan sokongan kepada Perdana Menteri yang baharu. 

 

“Mereka ini pemain besar dalam industri tenaga elektrik, industri digital dan industri pengangkutan seperti pelabuhan dan penerbangan,” coretnya di Facebook miliknya hari ini. 

 

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu mengulas pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang mengangkat U Mobile sebagai pembangun 5G kedua negara. 

 

Hassan berkata golongan kedua kapitalis kroni di zaman kerajaan hari ini belum begitu meluas dan berani kerana tindak-tanduk mereka sering diperhati. 

 

Katanya, kapitalis kroni jenis kedua ini yang rapat dengan Perdana Menteri adalah pemain kecil, masih amatur, baru muncul dan tidak ada rekod sebagai usahawan berjaya.

 

“Tetapi mereka mendapat peluang dan ihsan daripada kapitalis kroni golongan pertama yang sedang membina jambatan hubungan rapat dengan Perdana Menteri kesepuluh,” katanya.

 

Bagaimanapun, Hassan berkata golongan ketiga kapitalis kroni di zaman Anwar agak luar biasa apabila golongan ini tidak ramai tetapi amat menonjol. 

 

Katanya, golongan ini agak kebal dan tidak mudah disentuh kerana dilindungi oleh momokan undang-undang yang bernama raja, kaum dan agama (3R). 

 

“Wujudnya golongan kayangan ini yang melakukan fungsi perniagaan yang dilarang oleh undang-undang sudah terdedah sekarang ini.

 

“Apabila kerajaan persekutuan melalui SKMM memberikan lesen mengendalikan rangkaian kedua 5G kepada sebuah syarikat telco yang relatifnya pendatang baharu.

 

“Tetapi 22.31 peratus saham ekuiti syarikat tersebut dikuasai oleh institusi yang dilarang oleh Perkara 34 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

 

Hassan berkata imej kerajaan perpaduan pimpinan Anwar yang menjadikan perjuangan menegakkan tata kelola, urus tadbir kerajaan yang baik, telus dan amanah mulai tercalar.

 

Katanya, ia dipersoalkan angkara munculnya kembali amalan membina kapitalis kroni tetapi kali ini datangnya daripada golongan mahakaya.

 

IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kerajaan runding tawaran Ocean Infinity cari pesawat MH370 di lokasi baharu

Next Post

‘Nilai ringgit masih kukuh’ – Menteri Kewangan II

Related Posts