Oleh Azzman Jamal
Nilai ringgit masih kukuh walaupun terdapat pelbagai perkembangan dan penyesuaian pasaran baru-baru ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, setakat semalam, ringgit telah mengukuh sebanyak 5.03% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
“Dalam masa yang sama, ringgit juga telah mengukuh berbanding mata wang negara serantau yang mana ia mengukuh 13.3% berbanding Yen, 12.2% berbanding Won, 7.5% berbanding Rupiah dan 3.7% berbanding Baht,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang meminta kerajaan menyatakan prestasi nilai mata wang Ringgit berbanding dolar AS dan mata wang asing negara lain pada tahun ini.
Dari segi perkembangan global, Amir berkata, perubahan jangkaan kadar dasar monetari yang lebih rendah di ekonomi utama global khususnya di AS telah menyumbang kepada pengukuhan ringgit.
Katanya, faktor global seperti pergolakan geopolitik di Timur Tengah dan pilihan raya di AS turut menyumbang kepada turun naik pasaran kewangan global termasuk ringgit dan mata wang negara yang pesat membangun.
“Selain perkembangan luaran, ekonomi Malaysia juga sedang berkembang dengan baik. Setakat suku ketiga 2024, ekonomi negara berkembang secara purata sebanyak 5.1%.
“Ini termasuk anggaran awalan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi suku ketiga 2024 sebanyak 5.3%,” katanya.
Beliau berkata, ekonomi negara dijangka mencatat perkembangan antara 4.8% hingga 5.3% keseluruhan untuk tahun ini.
Ujarnya, jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang telah diluluskan separuh tahun pertama tahun ini ialah Rm160 bilion berbanding RM136 bilion pada 2023 dalam tempoh yang sama.
“Prospek positif ekonomi Malaysia ini termasuk komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar di bawah kerangka Madani akan memberi sokongan yang berterusan kepada ringgit,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI