Oleh Azzman Jamal
BANGI, Selasa – Operasi pencarian selanjutnya pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak sedekad lalu akan dipertimbangkan sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan sedang merunding tawaran daripada syarikat Ocean Infinity yang dikemukakan pada Jun lalu untuk meneruskan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat itu.
Katanya, lokasi pencarian yang dinyatakan ialah di lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip “no find, no fee”.
“Mengikut prinsip ‘no find, no fee’, kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat ditemui.
“Lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan oleh Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telah dibuat oleh pakar-pakar dan penyelidik yang dirujuk syarikat itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan yang meminta kerjaan menyatakan status terkini mengenai kertas cadangan syarikat robotik marin Ocean Infinity bagi memulakan semula pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 2014.
Mengulas lanjut, Loke berkata, cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan kukuh dan boleh dipertimbangkan oleh kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370.
Pada masa sama, Loke menegaskan, aspirasi kerajaan untuk mencari pesawat MH370 tidak akan diabaikan.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI