Oleh: Wartawan TV Pertiwi
UMNO Johor mengingatkan jentera parti agar berkempen bersungguh-sungguh menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Setiausahanya, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata persepsi pengundi boleh berubah jika jentera UMNO sambil lewa mendekati pengundi.
“Jangan lupa, terlalu yakin boleh memakan diri. Jangan ingat kita boleh menang mudah hanya kerana sejarah berpihak kepada kita.
“Sebagai penggerak jentera, penting untuk kita ingat bahawa dalam politik, tiada yang pasti. Hari ini kita rasa kuat, esok belum tentu.
“Kadang-kadang bila terlalu yakin, kita jadi malas. Kempen pun dibuat sambil lewa, janji cukup syarat. Inilah yang bahaya,” katanya.
Abdul Halim berkata sikap acuh tidak acuh menghadapi PRK DUN Mahkota boleh menghasilkan keputusan mengejutkan jika jentera UMNO tidak berwaspada.
Katanya, UMNO sama sekali tidak boleh memandang rendah kemampuan calon Perikatan Nasional sebaliknya perlu bekerja keras memenangi hati pengundi.
“Bila kita rasa kita sudah menang sebelum bertanding, jentera pun mulalah ambil mudah. Poster tidak dipasang elok, ‘walkabout’ pun sekadar tunjuk muka.
“Kita lupa yang lawan pun ada strategi dan mereka pun ada pengaruh. Jangan sekali-kali pandang rendah kepada lawan. Kita kena terus bekerja keras.
“Kita perlu ingat, walaupun Mahkota ini kubu kita, rakyat masih boleh berubah angin. Kalau mereka rasa kita sambil lewa, tidak mustahil undi akan beralih arah,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya pada bulan lalu mengumumkan PRK DUN Mahkota akan diadakan pada 28 September manakala hari penamaan calon pada 14 September.
PRK DUN Mahkota diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.