BANGI, 28 SAFAR – Sebuah premis pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian, Johor, diarah tutup 30 hari selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada petang Rabu lalu..
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abd Azim Shamsuddin, berkata notis penutupan diserah kepada pemilik premis terbabit pada jam 8.20 pagi tadi.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan Majlis Daerah Pontian (MDP) 2019 di bawah berkaitan pengibaran bendera.
“Setiap premis yang dilesenkan di bawah UUK diwajibkan mengibar Jalur Gemilang atau bendera negeri Johor dengan cara dan kaedah betul bagi tempoh tertentu, termasuk sempena bulan kemerdekaan,” katanya.
Abd Azim berkata, tindakan penutupan dibuat mengikut UUK 49 (2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen.
Namun, katanya pemilik premis terbabit boleh mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan dan keputusan lanjut tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua MPPn.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi