Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 19 RAMADAN — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membebaskan pengurup wang yang ditahan bagi membantu siasatan kes melibatkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata pengurup wang itu dibebaskan kerana mengalami masalah jantung tersumbat, lapor Harian Metro.
“Semasa dalam reman dua hari, dia tiba-tiba mengadu sakit jantung. Kami segera merujuknya kepada doktor yang mengesahkan bahawa dia mengalami masalah jantung tersumbat.
“Berikutan itu, SPRM tiada pilihan selain melepaskan suspek kerana keadaan kesihatannya supaya dia boleh mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita berikutan tindakan membebaskan pengurup wang tersebut.
Ismail Sabri semalam selesai memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dan ia disambung semula hari ini.
Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana program Keluarga Malaysia.
Dalam perkembangan sama, Azam berkata proses rakaman keterangan Ismail Sabri akan mengambil masa beberapa hari lagi.
“Saya tidak dapat meramalkan bila proses ini akan selesai, tetapi saya boleh katakan ia akan mengambil beberapa sesi lagi.
“Proses rakaman keterangan masih berjalan dan terdapat ramai lagi individu yang akan diambil keterangan,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi