BANGI, 28 SAFAR – Tujuh Ahli Parlimen PKR yang melahirkan kebimbangan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Bandar 2025 (URA) meminta kerajaan tidak meneruskan bacaan kedua RUU itu.
Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, yang membaca kenyataan berkata, kebimbangan utama mereka adalah berkaitan Seksyen 19(1)(b), iaitu ambang persetujuan bagi projek pembaharuan bandar.
Seksyen itu menyebut bahawa jika suatu projek pembaharuan semula bandar dijalankan oleh Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan atau Jawatankuasa Eksekutif Negara bagi suatu bangunan berusia 30 tahun atau kurang, ambang persetujuan hendaklah 80 peratus.
Bagi bangunan berusia lebih daripada 30 tahun pula, ambang persetujuan hendaklah 75 peratus.
“Kami menggesa kerajaan untuk tidak meneruskan bacaan kedua pada Rabu ini (minggu depan) dengan mengkaji semula RUU berkenaan pada sidang Parlimen akan datang,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Enam Ahli Parlimen PKR lain ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung
Hari ini dijadual berlangsung bacaan pertama RUU URA di Dewan Rakyat.
Rodziah berkata, ia selepas satu sesi taklimat yang lebih menyeluruh diberikan kepada Ahli Parlimen dengan menekankan isu utama ambang persetujuan serta kesannya terhadap penyewa miskin bandar.
Jika kerajaan meneruskan RUU URA dalam bentuk sekarang, katanya ia berisiko mengasingkan pengundi bandar, terutama di kawasan pilihan raya yang menempatkan banyak perumahan sosial dan ini akan menjadi satu kesilapan politik yang besar.
“Kami menyokong secara prinsip RUU URA dengan syarat ambang persetujuan ditetapkan dengan lebih adil dan masalah perumahan sosial ditangani seperti yang telah kami cadangkan,” katanya.
Rodziah berkata, negara ini mempunyai tanah jauh lebih luas berbanding Hong Kong dan Singapura, sekali gus kerajaan tidak seharusnya tergesa-gesa untuk merendahkan ambang persetujuan ini.
Malah, katanya ambang persetujuan yang sesuai hendaklah ditetapkan lebih tinggi iaitu 85 peratus bagi bangunan berusia lebih 30 tahun dan 90 tahun bagi bangunan berusia bawah 30 tahun.
“Ia demi melindungi hak pemilik rumah dan khususnya penyewa dalam perumahan sosial. Kita tidak seharusnya menyokong ambang persetujuan 75 peratus ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun tidak membantah pembangunan semula bangunan benar-benar terbengkalai atau tidak selamat dengan ambang persetujuan 51 peratus, pembangunan semula bandar membabitkan perumahan kos rendah perlu ditangani dengan lebih adil.
“Walaupun kami menyokong, secara prinsip, pembangunan semula rumah kos rendah yang sudah usang, kami memandang dengan penuh kebimbangan bahawa dasar perumahan sosial yang diwarisi oleh kerajaan Madani adalah sangat pincang.
“RUU URA ini tidak banyak memperbaikinya. Pemilik semua rumah kos rendah kebanyakan terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana, bukan golongan kaya. Sebagai contoh di Subang, kajian dijalankan pejabat Subang mendapati hampir 73 peratus penghuni unit kos rendah adalah penyewa, bukan pemilik.
“Majoriti besar pemilik adalah daripada golongan kes menengah dan berpendapatan tinggi,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi