Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 10 ZULKAEDAH – Siasatan terhadap insiden serangan asid yang menimpa pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, kini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) selepas pihak berkuasa gagal mengenal pasti suspek yang terlibat.
Perkara itu dimaklumkan peguam Faisal, Nik Zarith Nik Moustapha dalam sidang media hari ini, susulan surat rasmi yang diterima daripada Jabatan Peguam Negara mengenai status siasatan kes berkenaan.
Menurutnya, makluman tersebut menyatakan bahawa siasatan menyeluruh telah dilakukan oleh pihak polis, namun tiada petunjuk kukuh ditemui yang boleh mengaitkan mana-mana individu sebagai pelaku serangan tersebut.
“Segala usaha telah dilakukan oleh pihak polis, namun tiada hasil yang membolehkan tindakan lanjut diambil,” katanya.
Faisal yang pernah dinobatkan sebagai penjaring gol terbaik Piala Asia 2023, diserang dengan bahan kimia di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara pada 5 Mei tahun lalu. Insiden itu menyebabkannya mengalami kecederaan serius, termasuk melecur tahap empat pada beberapa bahagian badan, sekali gus memaksa beliau berehat panjang daripada dunia bola sepak.
Peguam berkenaan turut mendedahkan bahawa pihaknya sebelum ini telah mengutuskan surat kepada beberapa institusi termasuk Parlimen, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara, bagi mendesak siasatan diberi keutamaan memandangkan kes tersebut membabitkan keselamatan awam dan seorang atlet negara.
“Anak guam kami sangat kecewa dengan keputusan ini. Kami sedang berbincang langkah susulan yang boleh diambil,” tambahnya.
Kesimpulan NFA ini dijangka mencetuskan perdebatan awam berhubung tahap keselamatan atlet negara serta ketelusan sistem penyiasatan terhadap jenayah berprofil tinggi.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi