BANGI, 28 SAFAR – Insiden Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di sebuah klinik pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian dilaporkan berpunca daripada kesilapan pekerja klinik berkenaan.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bendera itu telah diperbetulkan selepas seorang pekerja wanita mengakui tersilap memasangnya dan menjelaskan ia tidak disengajakan.
“Insiden pemasangan bendera Malaysia terbalik di bandar Pontian sudah dibaiki. Ia berlaku disebabkan pekerja Klinik Gigi, iaitu seorang wanita yang silap memasang dan beliau memaklumkan ia tidak disengajakan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Semalam, tular video berdurasi 33 saat memaparkan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di tingkat dua bangunan kedai tiga tingkat yang menempatkan klinik tersebut. Bendera Johor yang dipasang bersebelahan kelihatan dalam keadaan betul, manakala beberapa anggota polis dan orang awam turut berada di lokasi.
Menurut Ahmad, isu berkenaan tidak harus dikaitkan dengan sentimen perkauman, sebaliknya melibatkan aspek kepekaan, ketelitian dan semangat patriotisme.
“Perlu diingat ini bukan soal perkauman. Ia adalah soal kepekaan, ketelitian dan semangat patriotisme. Semua kaum dan semua pihak perlu berhati-hati bila membabitkan hal-hal yang sensitif terutama pemasangan Jalur Gemilang,” jelasnya.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya memaklumkan, polis telah mengambil keterangan doktor dan kakitangan klinik berkenaan, termasuk pekerja wanita terbabit. Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga dilaporkan membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
“Saya juga sudah bercakap dengan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Setiausaha Majlis serta berhubung dengan Pegawai Daerah Pontian susulan insiden ini.
“Diharap semua bertenang. Isu ini sedang ditangani dan tentunya pelbagai pihak yang berkuasa serta berkaitan sedang mengambil tindakan yg sewajarnya. Kebijaksanaan bertindak adalah penting supaya perkara yang sama tidak berulang dan terus berulang lagi,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi