BANGI, 28 SAFAR – Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau dan Besut menjadi perintis menggunakan warden bekas tentera sebagai antara inisiatif penting menangani keganasan dan buli di institusi itu.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penempatan warden bekas tentera adalah projek rintis enam bulan bagi menangani isu buli yang wajib dibanteras dan memutuskan rantaian ganasnya.
“Insya-Allah, selepas enam bulan, dapatan hasil kajian menyeluruh keberkesanan inisiatif ini akan dilakukan dengan kerjasama pihak ketiga, iaitu Institut Kajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Jika kesannya positif, MARA akan memperluaskan inisiatif ini di keseluruhan 57 MRSM,” katanya dalam hantarannya di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, inisiatif mengambil warden sepenuh masa daripada kalangan pesara anggota beruniform melalui tapisan ketat dan berpandukan garis panduan jelas mengenai skop kerja mereka,.
“Moga ada manfaatnya untuk kemenjadian pelajar dan yang paling penting dapat membanteras gejala buli yang sudah lama berakar umbi dan membudaya dalam kalangan segelintir pelajar,” katanya.
Sementara itu, beliau mengakui bahawa bebanan tugas guru tidak memungkinkan mereka melaksanakan tanggungjawab tambahan sebagai warden.
Malah, katanya banyak pandangan termasuk daripada guru dan masyarakat yang menyifatkan tugas warden tidak lagi sesuai digalas oleh guru secara separa masa dengan elaun tambahan yang tidak berpadanan dengan tanggungjawab mereka.
“Bebanan tugas hakiki guru juga tidak memungkinkan mereka melaksanakan tanggungjawab tambahan ini yang memerlukan komitmen tinggi di luar waktu akademik,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi