BANGI, 28 SAFAR – Keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak membuat sebarang kutipan derma ketika ini, sama ada untuk keluarga itu sendiri atau untuk membayar yuran guaman.
Pasukan peguam yang mewakili keluarga pelajar berkenaan berkata, nombor akaun anak guam mereka tular di platform media massa seolah-olah membayangkan keluarga itu sedang mengutip derma.
“Kami menyatakan bahawa anak guam kami tidak ada membuat sebarang kutipan derma ketika ini, sama ada untuk dirinya sendiri atau untuk membayar yuran guaman kami.
“Nombor-nombor akaun anak guam kami yang disebarkan itu pernah digunakan untuk menerima sumbangan orang ramai kepada anak guam kami beberapa hari selepas kematian Zara.
“Namun, sumbangan melalui akaun-akaun itu telah dihentikan tidak lama kemudian,” kata pasukan peguam seramai enam orang, hari ini.
Dalam kenyataan media itu, pasukan peguam yang dinamakan ialah Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
“Sebarang sumbangan wang kepada anak guam kami akan hanya diterima secara fizikal oleh beliau sendiri atau wakil NGO yang telah diberi otoriti oleh beliau. Perkhidmatan guaman kami adalah secara pro bono atau percuma,” kata peguam berkenaan.
Allahyarham Zara Qairina, 13, dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat liputan meluas termasuk di media sosial selepas dikaitkan dengan perbuatan buli di sekolah berkenaan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi