BANGI, 28 SAFAR – Mulai hari ini, seramai 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia boleh menyemak kelayakan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Portal Rasmi SARA, https://sara.gov.my.
Penerima juga boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) dan maklumat lanjut seperti senarai kedai mengikut bandar dan panduan membeli barangan SARA di portal berkenaan.
“Seperti yang diumumkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, semasa Ucapan Penghargaan Kepada Rakyat bulan lalu, Bantuan Penghargaan SARA sebanyak RM100 akan disalurkan ke dalam MyKad penerima mulai 31 Ogos 2025 sempena Hari Kebangsaan.
“Ia boleh dimanfaatkan sehingga 31 Disember 2025,” kata Kementerian Kewangan dalam hantaran Facebook, hari ini.
Menurut Kementerian Kewangan, setiap pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang lahir pada 2007 dan sebelum akan menerima bantuan ini, termasuk penerima SARA sedia ada.
“Penghargaan SARA merupakan usaha ikhlas Kerajaan Madani, yang julung kali memanjangkan bantuan tunai kepada seluruh warga negara dewasa, untuk mengagihkan hasil reformasi kewangan awam kepada rakyat sejagat,” kata Anwar.
Mengikut kenyataan itu, bagi memastikan limpahan negara ini dapat dimanfaatkan sebaiknya secara saksama, baki Penghargaan SARA yang tidak dibelanjakan di akhir tahun akan diagihkan semula kepada golongan rentan melalui program Kerajaan Madani yang akan diputuskan kelak.
“Penerima juga boleh memilih untuk menggunakan bantuan ini dengan membeli barangan keperluan asas dan menyumbang semula kepada mereka yang memerlukan, seperti pembelian barangan asas sebagai derma kepada NGO, tempat ibadat dan sebagainya.
“Secara kolektif, sesebuah isi rumah berpeluang menerima jumlah kredit Penghargaan SARA yang lebih tinggi. Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima jumlah keseluruhan RM400,” kata Kementerian Kewangan.
Selain itu, Kementerian Kewangan menyatakan bahawa tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat memandangkan kelayakan untuk Penghargaan SARA adalah secara automatik berdasarkan data pemegang MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kementerian Kewangan turut menasihat orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sebarang tipu helah atau scammer, memandangkan bantuan Penghargaan SARA akan disalurkan secara langsung kepada MyKad penerima.
“Bantuan Penghargaan SARA boleh dibelanjakan di lebih 7,300 premis runcit yang berdaftar dan akan bertambah dari semasa ke semasa.
“Penerima boleh membeli lebih 100,000 barangan keperluan dalam 14 kategori. Ini termasuk makanan asas seperti beras dan telur, kebersihan rumah, ubat-ubatan, keperluan sekolah dan kebersihan diri, kata kementerian itu.
Melalui pelaksanaan program Penghargaan SARA, Kementerian Kewangan berkata, jumlah keseluruhan peruntukan di bawah program STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion bagi tahun 2025, 50 peratus lebih tinggi daripada RM10 bilion pada tahun 2024.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi