Terengganu tegaskan undang-undang solat Jumaat, ponteng sekali boleh didenda RM3,000

BANGI, 27 SAFAR – Lelaki Islam di Terengganu yang culas menunaikan solat Jumaat berdepan tindakan undang-undang walaupun hanya sekali meninggalkannya tanpa alasan munasabah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu selaras dengan pindaan Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2016 yang berkuat kuasa selepas digubal beberapa tahun lalu.

Menurutnya, sebelum pindaan dibuat, hanya mereka yang tidak hadir solat Jumaat tiga kali berturut-turut boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa agama.

“Dengan pindaan itu, jika tidak hadir sekali pun individu terbabit sudah boleh dikenakan tindakan mengikut perundangan ditetapkan,” katanya.

Dr Muhammad Khalil berkata, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, hukuman bagaimanapun hanya akan dikenakan sebagai jalan terakhir sekiranya peringatan tidak diendahkan oleh individu yang culas menunaikan kewajipan itu.

“Peringatan ini penting kerana solat Jumaat bukan sekadar syiar tetapi juga lambang ketaatan umat Islam,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau menjelaskan, pemasangan kain rentang peringatan di pekarangan masjid seluruh negeri bertujuan memberi amaran jelas mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat, selain menyedarkan orang ramai mengenai undang-undang yang sedang berkuat kuasa di Terengganu.

Dalam pada itu, katanya lagi, pelaksanaan undang-undang ini perlu dilihat sebagai usaha mendidik dan menjaga martabat Islam khususnya dalam membentuk kesedaran generasi muda.

“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil melalui laporan orang awam atau menerusi rondaan serta operasi bersepadu pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersama pihak berkuasa tempatan,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, peruntukan berkenaan telah wujud sejak undang-undang mula digubal pada tahun 2001 sebelum pindaan dibuat pada tahun 2016.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pesawat tempur 5G Perancis, AS dan Russia antara pilihan Malaysia 

Next Post

Rafizi nafi skandal diteliti ada kaitan Ismail Sabri, KJ

Related Posts