BANGI, 5 RABIULAWAL – Perikatan Nasional (PN) menggesa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak serta UMNO, tidak menyertai undian Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) yang dijangka dibentangkan hari ini.
Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, berkata RUU URA hanya terpakai di Semenanjung dan tidak membabitkan Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, katanya pengecualian membabitkan Ahli Parlimen Beluran yang juga pemimpin PN, iaitu Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee yang berhak mengundi kerana mempunyai rumah di Semenanjung.
“Ada rakan-rakan kami dari Sabah dan Sarawak kerana undang-undang ini tidak terpakai untuk Sabah dan Sarawak, tolong jangan ambil bahagian. Kita semua orang Malaysia untuk berlaku adil kepada semua.
“Anda bukan sebahagian daripada undang-undang itu, anda tidak sepatutnya terlibat. Tolong benarkan kami di Semenanjung fikirkan ini, dan kerana selalu kita fikirkan untuk Sabah dan Sarawak, saya mohon Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak tentang isu ini, kalau boleh berkecuali.
“Ronald Kiandee kata dia nak berkecuali, tapi oleh kerana dia ada rumah di Semenanjung, saya kata engkau mengundilah,” katanya ketika mengulas mengenai hasrat kerajaan untuk meneruskan pembentangan RUU URA pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut menggesa Ahli Parlimen UMNO turut tidak mengambil bahagian jika undi belah bahagian dilaksanakan
“Ahli Parlimen UMNO yang selama ini memperjuangkan nasib B40, mereka yang tidak mampu memiliki rumah yang begitu mahal, kita mohon supaya kalau boleh, kalau tak mahu tolak pun, tolong berkecuali.
“Kalau mereka berkecuali, saya akan maklumkan kepada rakyat semua bahawa Ahli Parlimen UMNO juga bersama rakyat di bawah untuk menangguhkan RUU ini.
“Kerana apabila kita bangkit untuk buat undi belah bahagian nanti, saya akan maklumkan berapa ahli UMNO akan mengundi, tidak mengundi, kami di sini akan cuba untuk tidak mahu RUU dibentangkan sekali lagi,” tegasnya.
Sementara itu Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya berada dalam keadaan bersedia untuk berbahas jika RUU PSB dibentangkan pada hari ini.
Bagaimanapun katanya PN belum diminta senarai berapa ramai Ahli Parlimen yang diberi ruang untuk berbahas.
“Sehingga di saat ini, Setiausaha Dewan Rakyat belum minta daripada saya dan memberitahu berapa orang diperuntukkan kepada PN (untuk berbahas), tapi kita bersedia,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi