BANGI, 27 SAFAR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, menegaskan bahawa skandal yang ditelitinya tidak mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri atau bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ).
Beliau berkata, pendedahan ini berikutan pelbagai tuduhan yang mendakwa skandal yang dimaksudkannya adalah berkaitan Ismail Sabri dan Khairy.
Menurutnya, tuduhan tersebut timbul selepas beliau mendedahkan mengenai pertemuan dengan pemberi maklumat seminggu sebelum serangan ke atas anaknya di Putrajaya, 13 Ogos lalu.
“Tuduhan pertama, kononnya saya sedang meneliti satu kes yang melibatkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, konon melibatkan wang yang dicuci di luar negara.
“Tuduhan terkini, kononnya saya sedang meneliti satu lagi kes melibatkan saudara Khairy Jamaluddin dan projek-projek semasa beliau menjadi Menteri Kesihatan, kedua-dua tuduhan ini tidak benar,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook rasminya, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pandan, Ismail Sabri dan Khairy turut dikaitkan dengan serangan tersebut, namun beliau menafikannya.
“Saya melihat timbulnya pelbagai berita tidak benar ini adalah satu usaha untuk mengalih perhatian rakyat dan siasatan.
“Lagi banyak cerita-cerita seperti ini timbul, lebih ramai yang akan membuat kesimpulan sendiri bahawa ia usaha untuk mengalih perhatian,” katanya.
Beliau turut berhubung dengan Ahli Parlimen Bera itu dan menyokong tindakannya untuk membuat laporan polis berkaitan berita palsu yang tersebar mengenai dakwaan ini.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi