BANGI, 13 SAFAR – Perdana Menteri tidak boleh mencampuri urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam mengarahkan agensi kerajaan itu menyiasat isu berkaitan peribadinya.
Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ‘arahan’ daripada Perdana Menteri kepada SKMM untuk menyiasat sesuatu isu yang dikaitkan dengan dirinya boleh ditafsirkan sebagai salah guna kuasa.
“Siapakah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim? Siapakah Perdana Menteri untuk mengarahkan, mencampuri urusan SKMM suruh siasat perakra yang bukan isu SKMM. Ini adalah isu peribadinya.
“SKMM, SPRM, PDRM – khususnya SKMM dalam kes ini – wajar faham, sebagai agensi penguatkuasa undang-undang negara, mereka tidak boleh dicampuri dengan arahan songsang, jahat oleh sesiapa sahaja, apatah lagi Perdana Menteri,” katanya dalam video yang dimuat naik di media sosial beliau semalam.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan pada Rabu mengambil maklum kenyataan penafian oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
Kenyataan PMO itu dikeluarkan selepas Muhyiddin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Anwar di persidangan Dewan Rakyat bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu menyokong pemberian subsidi kepada warga asing.
Malah, Muhyiddin turut menyifatkan kenyataan Anwar sebagai fitnah dan pembohongan yang dilemparkan terhadapnya.
Isu ini tercetus apabila Anwar dalam sesi Pertanyaan Menteri pada Selasa meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang didakwanya mempersoalkan tindakan kerajaan bebankan orang asing dalam penyasaran subsidi RON95.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian sebagai reaksi terhadap pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang meminta beliau menjelaskan siapa ahli Parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing, susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.
Dalam pada itu, Haniff berkata, sekiranya SKMM mengeluarkan kenyataan susulan sebagai maklum balas kepada ‘arahan’ Perdana Menteri, ia akan menjadi bukti campur tangan Anwar kepada agensi pelaksana undang-undang.
Selain itu, katanya, situasi ini juga akan membuktikan bahawa SKMM membiarkan agensi itu dipergunakan oleh pucuk pimpinan negara untuk kegunaan salah atau peribadi.
“Bukankah Anwar Ibrahim dalam Parlimen (pada Selasa) mengatakan beliau sudah buat ‘homework’ dan nyatakan ‘kenapa ahli pembangkang tak baca kenyataan ketuanya sendiri?’
“Kenapa di Parlimen kata buat homework tetapi hari ini tak boleh tampilkan bukti yang sahih untuk menunjukkan kononnya Pagoh yang tidak benar. Mana buktinya?” soal beliau.
Tegas Haniff, sekiranya tiada bukti, ini bermaksud Anwar telah berbohong dalam Dewan Rakyat.
“Bukankah itu mengelirukan Dewan Rakyat? Bukankah itu menjatuhkan martabat negara, pemimpin negara atau Perdana Menteri dalam mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa?
“Ini tidak boleh dibenarkan untuk diteruskan. Rakyat tidak boleh ditadbir oleh Perdana Menteri yang tidak membuat kenyataan benar dan betul serta ikhlas.
“Rakyat tak berhak ditipu. Yang betul kita kata betul, yang salah kita kata salah jika pun ia daripada Perdana Menteri,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi