BANGI, 13 SAFAR – Usaha seorang lelaki warga India menyeludup 2,500 ekor kura-kura spesies Red-eared Slider gagal apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1), malam kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 10.05 malam di pintu pelepasan antarabangsa itu, suspek yang dijadual menaiki penerbangan ke Bengaluru, India, ditahan selepas beg miliknya menunjukkan imej mencurigakan ketika diimbas.
Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), pemeriksaan lanjut ke atas bagasi terbabit menemui lebih 2,500 kura-kura spesies Red-eared Slide bernilai kira-kira RM348,000 yang disembunyikan.
“Semua haiwan dirampas diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686),” kata AKPS dalam satu kenyataan, hari ini.
AKPS menyatakan kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat AKPS KLIA bersama Jabatan PERHILITAN, Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan hidupan liar yang semakin berleluasa.
Katanya, AKPS akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan biodiversiti negara.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi