Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Khamis – Isu melibatkan spesifikasi dan keperluan tentera negara tidak wajar dibincangkan secara terbuka demi keselamatan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, tidak ada negara di dunia yang akan bincang soal keperluan teknikal keselamatan untuk dibicarakan secara umum.
Justeru, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, tidak bersetuju sekiranya isu pembelian senjata dan keistimewaan helikopter untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibahaskan oleh Jawatankuasa Parlimen.
“Tidak boleh. Saya tidak setuju kalau isu-isu pembelian senjata ini pun kita dah umumkan setakat yang boleh diumumkan.
“Tetapi apakah keistimewaan tiap helikopter untuk Tentera Udara Diraja Malaya (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), saya tidak fikir boleh dibiarkan oleh Jawatankuasa Parlimen,” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soal tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Isham Abdul Aziz yang bertanya sekiranya cadangan penyewaan helikopter ATM dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk mengesahkan sama ada sewaan itu diperlukan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, penjelasan itu hanyalah sekadar pandangan peribadi beliau, namun Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri boleh teliti semula untuk berkongsikan maklumat yang boleh disampaikan.
Anwar berkata, kerajaan menggunakan sistem pajakan dalam perolehan helikopter untuk kegunaan agensi kerajaan dan pasukan keselamatan bagi memastikan ia tidak menjadi beban kewangan kepada negara.
Katanya, kaedah ini juga membolehkan kerajaan berjimat daripada aspek penyelenggaraan.
“Kita lebih setuju dengan cara ini, yang pertama kerana ia tidak menjadi beban kewangan kepada negara walaupun sesetengan negara kita beli dengan lebih murah tetapi kemudian kalau kita tengok penyelenggaraan dan itu akhirnya ada keperluan pesawat diselenggara itu lebih mahal daripada pesawat pada peringkat awal.
“Itu sebab mereka dikaji semula dan dianggap sebagai pajakan penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) kerana mengurangkan beban dan syarat kita laithan mesti di sini dan pemindahan teknologi di sini,” katanya.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini dilaporkan berkata 28 helikopter akan disewa kerajaan menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun untuk beberapa agensi termasuk ATM.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI