Aktivis Palestin terkemuka ditembak mati penceroboh Israel di Tebing Barat

GAZA, 5 SAFAR – Seorang aktivis hak asasi Palestin terkemuka, Owdeh Hathaleen, maut ditembak oleh penceroboh bersenjata Israel dalam satu serangan di wilayah Tebing Barat yang dijajah rejim Zionis, Isnin lalu.

Mangsa yang juga perunding kepada dokumentari pemenang Oscar No Other Land, disahkan meninggal dunia selepas ditembak berdekatan perkampungan Umm al-Khair, menurut laporan media rasmi Palestin.

Menurut saksi, seramai lima individu menyaksikan kejadian itu dan memberitahu Reuters bahawa tembakan dilepaskan secara langsung oleh seorang penceroboh Yahudi berhampiran penempatan haram Israel di Carmel.

Dalam kenyataan rasmi yang dilihat cuba menutup jenayah tersebut, penjajah Zionis mendakwa bahawa “seorang pengganas telah melontar batu ke arah orang awam Israel”, sebelum seorang awam bersenjata melepaskan tembakan sebagai kononnya “langkah mempertahankan diri”.

Tentera Israel turut mengesahkan terdapat kecederaan namun tidak memperincikan mangsa, dan memaklumkan bahawa kes itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Polis Israel menyatakan siasatan masih di peringkat awal, dan seorang individu Israel telah ditahan. Namun, tindakan terhadap penceroboh Yahudi lazimnya berakhir tanpa sebarang pendakwaan yang bermakna.

Selain itu, tentera rejim turut menahan empat warga Palestin serta dua pelancong asing yang berada di lokasi kejadian – satu taktik yang sering digunakan bagi memesongkan fokus daripada keganasan sebenar yang dilakukan oleh penceroboh bersenjata.

“Hasil daripada insiden ini, kematian seorang rakyat Palestin telah disahkan,” kata kenyataan polis tersebut.

Sepupu kepada mangsa, Alaa Hathaleen, yang turut berada di lokasi, sempat merakam detik serangan menggunakan telefon bimbitnya. Beliau menegaskan bahawa Owdeh “berada jauh dan tidak melakukan sebarang provokasi” ketika ditembak.

“Kenapa mesti kami sentiasa menjadi pihak yang kalah, merasai kesakitan seperti ini setiap hari, kehilangan insan yang kami sayangi?” katanya dalam temu bual bersama Reuters.

Untuk rekod, Owdeh Hathaleen merupakan antara aktivis paling lantang membela nasib penduduk Palestin di wilayah yang diceroboh rejim Zionis. Beliau terlibat secara langsung dalam penerbitan dokumentari No Other Land (2024), yang mendedahkan penderitaan rakyat Palestin termasuk siri serangan kejam oleh penceroboh Yahudi.

Menurut B’Tselem dan beberapa kumpulan hak asasi antarabangsa, keganasan oleh penceroboh Yahudi di Tebing Barat meningkat secara drastik sejak bermulanya perang penjajahan Israel ke atas Gaza pada akhir 2023. – Reuters

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Basem Abdo gesa kerajaan Australia iktiraf negara Palestin

Next Post

#JusticeForZara: Tragedi yang wajib buka mata semua ‘parahnya buli’

Related Posts