TANDA pagar #JusticeForZara yang masih trending hingga ke hari ini bukan sekadar gelombang simpati rakyat terhadap remaja yang meninggal dunia dalam keadaan tragis. Ia mencerminkan satu kegusaran nasional bahawa anak-anak kita tidak lagi selamat di tempat yang sepatutnya menjadi ruang pembelajaran, bimbingan dan perlindungan.
Kes melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, pelajar Tingkatan Satu sebuah Sekolah Menengah Agama di Papar, Sabah, yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebelum disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu, membuka semula luka lama yang masih belum sembuh, luka akibat isu buli yang tidak pernah selesai.
Meskipun pihak berkuasa masih menjalankan siasatan dan belum membuat sebarang pengesahan berkenaan punca sebenar kejadian, fakta bahawa kes ini dikaitkan oleh masyarakat dengan dakwaan buli sudah cukup menunjukkan betapa rendahnya keyakinan rakyat terhadap kemampuan sistem untuk membendung gejala ini.
Apa yang lebih menyentuh hati, ibu mangsa, Puan Noraidah Lamat, yang juga seorang guru, hanya memohon satu perkara – agar siasatan dijalankan secara adil, saksama dan telus. Permintaan itu tidak berlebihan. Malah itulah sepatutnya menjadi tanggungjawab asasi mana-mana pihak yang terlibat dalam menjaga amanah pendidikan dan keselamatan pelajar.
Buli bukan fenomena baharu. Ia sudah lama menular dalam sistem pendidikan negara, tidak kira di sekolah harian, berasrama penuh, MRSM, sekolah berprestij dan sekolah agama sekalipun. Ada yang dibuli kerana fizikal, latar belakang, prestasi akademik atau hanya kerana menjadi ‘lain’ daripada kelompok dominan. Lebih parah, budaya tutup mulut, melindungi pelaku, dan normalisasi kezaliman ini masih berlaku hingga ke hari ini.
Berapa ramai pelajar yang memilih untuk mendiamkan diri kerana takut? Berapa ramai ibu bapa yang hanya tahu selepas anak mereka sudah jatuh murung? Berapa ramai yang pernah membuat aduan tetapi akhirnya tenggelam dalam birokrasi, disisihkan atau dituduh pula mencemarkan nama sekolah?
Realitinya, setiap kali isu buli timbul, kita akan dengar reaksi standard – “kami sedang siasat”, “kejadian terpencil”, “akan ambil tindakan”. Namun hakikatnya, kes terus berulang. Mangsa terus bertambah. Dan kepercayaan masyarakat terus terhakis.
Sekolah bukan medan samseng berseragam. Ia bukan tempat untuk ‘senior’ membuli ‘junior’ atas nama tradisi. Ia bukan tempat menguji ego pelajar dengan kekerasan. Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak membesar. Jika mereka tidak selamat di rumah kedua mereka, maka siapa lagi yang akan menjaga mereka?
Kita tidak minta semua sekolah sempurna. Tetapi kita minta sekolah yang jujur dan berani menegakkan kebenaran, bukan menutup kelemahan atas alasan menjaga nama institusi. Kita tidak minta semua guru menjadi malaikat. Tetapi kita mahu guru yang peka, yang bertindak, yang tidak berdiam diri apabila melihat ada murid yang menangis dalam diam.
Kematian Zara Qairina mesti menjadi titik muhasabah untuk semua, bukan hanya Kementerian Pendidikan dan pihak sekolah, tetapi juga kita sebagai masyarakat. Kita tidak mampu lagi hidup dengan sikap ‘bukan anak aku, bukan urusan aku’. Kerana jika hari ini kita diam, esok mungkin anak kita pula yang menjadi mangsa.
Tarbiah mesti kembali menjadi roh pendidikan. Sistem mesti diperbetulkan dan pelaku mesti dihadapkan ke muka keadilan.
Siti Fatimah Ishak
Wartawan TV Pertiwi