KUALA LUMPUR, 1 SAFAR – Himpunan Turun Anwar yang berlangsung hari ini menggambarkan imej kekecewaan dan keresahan rakyat terhadap prestasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, janji-janji manis yang pernah ditaburkan sebelum ini kini semakin menjauh daripada realiti.
“Himpunan Turun Anwar pada asasnya menggambarkan imej kekecewaan dan keresahan rakyat terhadap prestasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri sekarang.
“Janji-janji manis yang pernah ditabur, kini kelihatan semakin menjauh dari realiti.
“Rakyat dibebani dengan kos sara hidup yang meningkat, kejatuhan nilai ringgit, dan kelembapan ekonomi yang tidak menunjukkan pemulihan yang meyakinkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Dataran Merdeka hari ini dibanjiri puluhan ribu peserta Himpunan Turun Anwar yang berarak dari Masjid Negara sejurus selesai solat Zohor.
Kehadiran mula memuncak sekitar jam 2.50 petang, dengan suasana semakin lantang apabila peserta melaungkan tuntutan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.
Sebahagian peserta membawa sepanduk dan kain rentang yang memaparkan pelbagai mesej bantahan, antaranya berkaitan kos sara hidup, kebebasan bersuara serta dasar-dasar kerajaan yang didakwa menekan rakyat.
Himpunan berakhir sekitar jam 5.16 petang dalam keadaan terkawal.