ISNIN, 22 NOVEMBER – Pemandu kereta yang merempuh sebuah kedai perabot di Kampung Pasir, Ampang semalam sehingga mengakibatkan seorang pekerja maut dipercayai pitam dan tidak sedarkan diri semasa memandu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu seorang lelaki dari arah Kajang menghala ke Raub, Pahang dipercayai hilang kawalan.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 melibatkan sebuah kereta jenis Proton Preve berwarna merah yang terbabas dan merempuh masuk sebuah premis sekitar pukul 61.5 petang.
Mohamad Farouk menerusi kenyataan beliau mengesahkan pekerja kedai perabot warga tempatan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Ampang sementara pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sampel darah pemandu terbabit telah pun diambil untuk di analisa. Manakala ujian air kencing serta ujian pernafasan untuk mengesan pemandu mabuk yang dijalankan adalah negatif, katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 19-87 yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada 2 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM 5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.
Polis turut menggesa saksi kejadian tersebut untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Navine Gunasegaran.