Apa anda harapkan daripada janji ‘luar biasa’ PMX?

BEBERAPA hari ini, media sosial rancak dengan komen dan reaksi netizen apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mencuri perhatian dengan pengumuman akan memberikan ‘penghargaan luar biasa’ kepada rakyat Malaysia.

Perdana Menteri menyatakan pengumuman itu akan dibuat esok (Rabu), namun, ia bukan sahaja menimbulkan tanda tanya, malah mencetuskan gelombang sindiran, teka-teki dan kritikan yang semakin deras. Perkataan ‘luar biasa’ itu, hakikatnya, lebih banyak mengundang rasa sangsi daripada menyalakan harapan. Bagi rakyat yang telah lama dibebani tekanan ekonomi serta janji-janji politik, gaya pengumuman seperti ini tidak lagi dianggap sebagai keistimewaan, sebaliknya seolah-olah seperti satu permainan persepsi. 

Terdapat dalam kalangan rakyat yang menyindir bahawa ‘penghargaan luar biasa’ itu mungkin hanyalah gimik untuk meraih simpati atau sebagai helah untuk mengalihkan perhatian daripada isu-isu hangat yang sedang bergolak. 

Tidak kurang juga yang mempersoalkan sama ada benar wujud sesuatu yang luar biasa sedang dirancang, atau ia sekadar strategi komunikasi bagi menenangkan kemarahan rakyat menjelang perhimpunan besar yang bakal berlangsung. Malah, ada yang berpendapat ia mungkin satu taktik untuk menghalang rakyat daripada menyertai himpunan aman ‘Turun Anwar’ yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Malah, ada yang secara sinis menyatakan bahawa mereka sudah pun ‘merasai’ pelbagai bentuk ‘penghargaan luar biasa’ – termasuklah kenaikan harga barang yang tidak terkawal, pengurangan subsidi secara senyap, pengenaan cukai yang membebankan golongan pertengahan, tekanan terhadap penjawat awam yang berprinsip, serta dasar-dasar yang semakin tidak berpihak kepada rakyat terbanyak. 

Jika semua ini dikira sebagai ‘penghargaan luar biasa’, maka benarlah, rakyat sedang melalui kehidupan yang sangat luar biasa. Tetapi bukan dalam makna yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri.

Sebenarnya, kritikan terhadap pendekatan Perdana Menteri bukanlah berpunca daripada rasa benci yang membuta tuli. Rakyat Malaysia ialah masyarakat yang rasional dan terbuka. Jika sesuatu dasar itu baik, mereka mampu menilainya dengan adil dan objektif. Namun apabila terlalu banyak janji yang ditaburkan tanpa pelaksanaan yang nyata, dan apabila retorik sering dijadikan selimut untuk menutupi kegagalan dasar, maka kesabaran rakyat juga ada batasnya.

Apa yang lebih membimbangkan ialah corak kepimpinan hari ini yang dilihat semakin ghairah bermain dengan persepsi. Seolah-olah nilai sesebuah pentadbiran tidak lagi diukur berdasarkan keberkesanan dasar atau keadilan kepada rakyat, tetapi lebih kepada sejauh mana sesuatu pengumuman mampu mengalihkan perhatian umum daripada kelemahan dan kegagalan yang wujud. 

Sebagai rakyat, kita tidak menolak penghargaan. Tetapi apa yang diimpikan bukanlah sesuatu yang diumumkan secara misteri dan penuh teka-teki. Rakyat tidak mengharapkan hadiah sementara atau ganjaran bersifat kosmetik. Apa yang mereka mahukan ialah pentadbiran yang telus, dasar yang adil dan keberanian untuk meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik.

Rakyat tidak mahu bergantung kepada bantuan yang tidak menentu atau ihsan yang bersifat sementara. Mereka mahu sistem yang membolehkan mereka hidup dengan bermaruah, berusaha dengan yakin, dan membina keluarga tanpa perlu menagih simpati negara. Mereka mahu jaminan bahawa hasil titik peluh mereka dilindungi oleh dasar yang berprinsip dan kerajaan yang berintegriti.

Pemimpin juga perlu sedar bahawa rakyat Malaysia hari ini bukan lagi kelompok yang mudah dibentuk dengan naratif manis. Mereka peka, berfikir dan bersedia untuk bersuara. Jadi, jika benar Perdana Menteri ingin memberikan ‘penghargaan luar biasa’ kepada rakyat, maka buktikanlah dengan tindakan, bukan dengan janji yang panjang lebar atau ucapan yang sarat retorik. 

Buktikan melalui usaha bersungguh-sungguh menurunkan harga barang, memperkukuh institusi Melayu-Islam, melindungi penjawat awam yang bersuara demi kebenaran, dan memulihkan kembali maruah ekonomi rakyat terbanyak.

Penghargaan sebenar tidak memerlukan pentas yang gah atau sidang media penuh gimik. Ia hanya memerlukan dasar yang adil, keadilan yang dirasai oleh rakyat, dan keberanian untuk berpihak kepada yang benar.

Yang luar biasa bukanlah apa yang diumumkan, tetapi keberanian untuk melakukan yang benar, walaupun ia tidak popular di mata politik.

Siti Fatimah Ishak
Wartawan TV Pertiwi

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel bedil lagi rumah dan masjid di Gaza, 130 terbunuh dalam 24 jam

Next Post

Tegur kawan lebih sukar dari serang lawan – Rafizi

Related Posts