BANGI, 26 MUHARRAM – Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan cabaran paling besar bagi seorang pemimpin, bukan kelantangan berdepan pihak lawan, sebaliknya keberanian menegur rakan dalam parti dan kerajaan.
Bekas Timbalan Presiden PKR dan Menteri Ekonomi itu berkata, menegur kawan lebih susah berbanding menegur lawan.
Menurutnya, tindakan menyuarakan pandangan menyebabkan semua pihak tidak berpuas hati terhadapnya
“Yang dalam kepimpinan PKR, bila saya bagi pandangan, ramai yang kepanasan. Setiausaha Agung, Fuziah Salleh, siap keluar memo lagi konon bila kami bangkit isu badan kehakiman, itu sama macam hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, keadaan sama berlaku apabila `mengusik’ pendirian PAS yang berubah-ubah, pemimpin dan ahli parti itu akan berpakat menyerangnya secara beramai-ramai.
Walaupun berbeza, katanya PKR dan PAS mempunyai satu persamaan, iaitu akan mengungkit kenapa beliau tidak membantah (mengenai sesuatu isu) ketika berada dalam kerajaan.
Beliau yakin bahawa pimpinan PAS mempunyai jawapan yang sama dengannya.
“Sebab mereka pernah berdepan dengan keadaan yang sama semasa dalam kerajaan. Dulu, kerajaan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri telah menaikkan cabutan loteri kepada 22 kali setahun berbanding 8 kali sebelum itu.
“Kecoh satu negara. Macam mana kerajaan yang ada parti Islam tetapi menaikkan cabutan loteri,” katanyta.
Rafizi percaya bahawa pimpnan PAS telah berbincang mengenai perkara itu di peringkat parti dan menyuarakan bantahan dalam Kabinet Muhyiddin.
“Samalah bila ada isu yang saya tidak bersetuju, sudah tentu saya nyatakan kepada Perdana Menteri atau suarakan dalam Kabinet. Tapi akhirnya menteri tertakluk kepada keputusan akhir PM atau Jemaah Menteri,” katanya.
Namun berbeza dengan pemimpin PAS, katanya ialah walaupun diminta kekal dalam Kabinet, apabila beliau berasa tidak serasi atau pandangannya tidak boleh dipertimbangkan oleh Perdana Menteri, maka beliau membuat keputusan meletakkan jawatan.
“PAS lain sedikit. Walaupun di luar menjerit anti-judi dan mahu mengangkat syiar Islam, selepas di dalam (Kabinet) bersuara, masih lagi kekal sampai ke sudah. Loteri naik tiga kali ganda pun tak apalah, asalkan ana kekal jadi menteri,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi