TEL AVIV, 12 MUHARRAM – Rejim penjajah Israel secara terbuka mengaku sedang bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat (AS) bagi melaksanakan rancangan pengusiran rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza ke negara lain.
Dalam kenyataan terbaru kepada media, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu cuba menggambarkan usaha terancang itu sebagai kononnya “memberi pilihan” kepada rakyat Palestin, namun ramai pemerhati melihatnya sebagai cubaan halus untuk menghalalkan pembersihan etnik.
“Jika mereka mahu tinggal, mereka boleh tinggal. Tetapi jika mereka mahu pergi, mereka boleh pergi. Gaza tidak sepatutnya menjadi penjara,” katanya – kenyataan yang dilihat sebagai manipulasi terhadap krisis kemanusiaan yang sedang berlaku.
Netanyahu turut mendedahkan bahawa Israel kini sedang berunding dengan AS bagi mencari negara-negara ketiga yang sanggup menerima pelarian Palestin – satu langkah yang disifatkan sebagai cubaan untuk menghapuskan kehadiran Palestin dari tanah mereka sendiri.
“Kami bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk mencari negara yang sebelum ini menyatakan mahu membantu Palestin. Saya percaya kami hampir menemui beberapa negara yang bersedia,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Presiden AS, Donald Trump pula mendedahkan bahawa AS telah “mengambil alih” urusan di Gaza dan rakyat Palestin akan “dipindahkan ke negara lain” – satu pengakuan terbuka tentang rancangan jangka panjang untuk memecah dan membuang rakyat Palestin dari bumi sendiri.
Pemerhati politik dan pertubuhan hak asasi melihat rancangan ini sebagai lanjutan kepada penjajahan, di mana pelarian Palestin dipaksa meninggalkan Gaza setelah pengeboman dan sekatan selama berbulan-bulan memusnahkan seluruh infrastruktur kehidupan. – AL JAZEERA
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi