AS kenakan tarif import 25 peratus terhadap Malaysia mulai 1 Ogos

BANGI,12 MUHARRAM – Surat yang ditulis dengan nada diplomasi tiba secara berperingkat, menjelaskan kesan yang bakal dihadapi oleh Malaysia dan beberapa negara lain Asia, iaitu import ke Amerika Syarikat (AS) akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus bermula 1 Ogos.

Presiden AS, Donald Trump, memulakan tindakan itu terhadap sekutu di Asia Timur, dengan memaklumkan kepada Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba dan Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung bahawa import dari negara berkenaan ke AS akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus.

Beberapa jam kemudian, kebanyakan negara Asia Tenggara pula menerima surat masing-masing dari Rumah Putih.

Bagi Malaysia dan Indonesia, yang sedang berunding secara aktif untuk mencapai perjanjian sepanjang hujung minggu, surat Trump menyatakan tarif timbal balik masing-masing pada kadar 25 peratus dan 32 peratus. 

Bagi Thailand, notis tersebut menyebut kadar 36 peratus, manakala bagi Laos dan Myanmar, masing-masing dikenakan kadar 40 peratus. Kebanyakan kadar tarif berkenaan selaras dengan pengumuman Trump pada April lalu yang mengejutkan rantau ini dengan mengenakan tarif antara yang tertinggi.

Kadar baharu bagi Malaysia dan Jepun meningkat sedikit daripada 24 peratus yang diumumkan sebelum ini. Bagi Laos dan Myanmar pula, kadar itu menurun daripada 48 peratus dan 44 peratus. Tiada penjelasan diberikan berhubung perubahan ini.

Perkara yang mengejutkan ialah terhadap Kemboja, yang dimaklumkan bahawa barangannya hanya akan dikenakan tarif sebanyak 36 peratus, jauh lebih rendah berbanding kadar 49 peratus dalam pengumuman asal Trump.

Singapura, India dan Taiwan, setakat ini masih belum menerima makluman daripada Rumah Putih.

Surat-surat yang mempunyai kandungan sama itu telah disiarkan di platform Truth Social pada petang 7 Julai (awal pagi ini di Malaysia). 

Surat tersebut menyatakan bahawa rakan dagang AS akan berdepan tarif sektoral terhadap eksport barangan seperti kenderaan (25 peratus) serta keluli dan aluminium (50 peratus) yang akan memberi impak besar kepada negara industri seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

Dalam surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikongsi dalam laman Truth Social, milik Trump Media & Technology Group, Trump berkata: “Kita tidak boleh lagi membiarkan negara lain mengambil kesempatan terhadap kita. Mulai 1 Ogos, semua import dari Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus.”

Pada 2 April lalu, Trump mengumumkan ‘tarif hari pembebasan’ yang menyaksikan kadar asal 24 peratus ke atas import dari Jepun dan 25 peratus terhadap Korea Selatan. Malaysia antara negara yang turut terkesan.

Bagaimanapun tarif timbal balas itu ditangguh pentadbiran Trump selama 90 hari bagi mengadakan rundingan bersama semua negara dagang.

Tempoh penangguhan itu dijadualkan tamat Rabu ini, namun Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt memaklumkan Trump akan menandatangani perintah eksekutif bagi melanjutkan tempoh berkenaan hingga 1 Ogos.

“Kami telah menghantar surat pemberitahuan kepada negara-negara yang terbabit dan lebih banyak surat akan dihantar dalam beberapa hari lagi,” kata Leavitt.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel, AS berpakat usir rakyat Palestin dari Gaza secara sistematik

Next Post

Hospital Gaza sesak tanpa ubat, Sham hampir mati akibat meningitis

Related Posts