Pertempuran udara India-Pakistan jadi tumpuan dunia ketenteraan antarabangsa

Oleh: Wartawan TV Pertiwi

 

BANGI, 11 ZULKAEDAH – Pertempuran udara antara jet pejuang buatan China milik Pakistan dan jet Rafale buatan Perancis milik India akan diteliti secara dekat oleh pasukan ketenteraan di seluruh dunia untuk mendapatkan pandangan strategik yang boleh memberikan kelebihan dalam konflik masa depan.

 

Menurut pegawai Amerika Syarikat (AS), sebuah jet pejuang Pakistan buatan China dilaporkan menembak jatuh sekurang-kurangnya dua pesawat tentera India pada Rabu lalu, satu pencapaian besar yang berpotensi bagi jet pejuang canggih buatan Beijing.

 

Pertembungan udara ini merupakan peluang yang jarang diperolehi kepada pasukan ketenteraan mengkaji prestasi juruterbang, pesawat pejuang dan peluru berpandu udara ke udara dalam pertempuran sebenar, dan menggunakan maklumat itu bagi persiapan pasukan udara mereka sendiri.

 

Pakar berkata, penggunaan senjata canggih secara langsung akan dianalisis secara meluas di seluruh dunia, termasuk oleh China dan AS yang kedua-dua negara sedang membuat persiapan untuk kemungkinan konflik berkaitan Taiwan atau di rantau Indo-Pasifik secara umum.

 

Seorang pegawai AS yang enggan dinamakan berkata, terdapat keyakinan tinggi bahawa Pakistan telah menggunakan pesawat J-10 buatan China untuk melancarkan peluru berpandu udara ke udara ke arah jet pejuang India.

 

Perbincangan di media sosial tertumpu kepada prestasi peluru berpandu udara ke udara PL-15 buatan China berbanding Meteor, peluru berpandu menggunakan radar buatan kumpulan Eropah, MBDA. Namun, tiada pengesahan rasmi bahawa senjata-senjata ini digunakan.

 

“Komuniti peperangan udara di China, AS dan beberapa negara Eropah pasti sangat berminat untuk mendapatkan maklumat sebenar tentang taktik, teknik, prosedur, peralatan yang digunakan, apa yang berkesan dan apa yang tidak,” kata Douglas Barrie, felo kanan bidang ketenteraan aeroangkasa di Institut Pengajian Strategik Antarabangsa.

 

“Anda berhadapan kemungkinan senjata paling berkeupayaan dari China menentang senjata paling berkuasa dari Barat, jika benar senjata itu digunakan, kita tidak pasti lagi,” katanya.

 

Menurut Barrie, Perancis dan AS juga mungkin mengharapkan maklumat risikan serupa dari India.

 

“PL-15 adalah masalah besar. Ia adalah sesuatu yang sangat diberi perhatian oleh tentera AS,” kata seorang eksekutif industri pertahanan.

 

Pengeluar Rafale, Dassault Aviation enggan mengulas, manakala konsortium MBDA tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan maklum balas berikutan cuti umum di Perancis.

 

BUTIRAN MASIH KABUR

 

Penganalisis Barat dan sumber industri berkata, masih banyak butiran penting yang belum jelas, termasuk sama ada Meteor dibawa serta jenis dan tahap latihan yang diterima juruterbang. Firma senjata juga mahu membezakan antara prestasi teknikal dengan faktor operasi, kata penganalisis.

 

“Akan ada audit tentang apa yang berfungsi dan apa yang tidak, tetapi pada masa yang sama wujud ‘kabut perang’,” kata Byron Callan, pakar pertahanan yang berpangkalan di Washington dan rakan pengurusan di Capital Alpha Partners.

 

Syarikat senjata AS sentiasa menerima maklum balas tentang prestasi produk mereka di medan perang Ukraine, katanya.

 

“Jadi saya yakin perkara yang sama berlaku antara pembekal Eropah kepada India, dan Pakistan serta China mungkin juga berkongsi maklum balas tersebut. Jika PL-15 berfungsi seperti yang diiklankan atau lebih baik dari jangkaan, China pasti mahu tahu.”

 

Satu sumber industri pertahanan dari negara Barat yang mengendalikan peluru berpandu Meteor berkata, satu gambar dalam talian menunjukkan komponen peluru berpandu yang dipercayai gagal mengenai sasaran. 

 

Terdapat laporan bercanggah tentang sama ada Pakistan memiliki versi PL-15 dari Tentera Udara China (PLAAF), atau versi eksport dengan jarak lebih pendek yang diperkenalkan secara umum pada 2021.

 

Barrie yang banyak menulis mengenai peluru berpandu itu, percaya Pakistan berkemungkinan besar memiliki versi eksport.

 

Seorang lagi sumber industri Barat menolak dakwaan bahawa PL-15 yang menggunakan bahan api roket mempunyai jarak lebih jauh berbanding Meteor, tetapi mengakui kemampuannya “mungkin lebih hebat daripada yang dijangka.” Julat Meteor tidak pernah didedahkan secara rasmi. “Buat masa ini, kita tak boleh menilai apa-apa. Maklumat terlalu sedikit,” katanya.

 

Julat dan prestasi PL-15 menjadi tumpuan minat Barat selama bertahun-tahun. Kemunculan peluru berpandu itu dilihat sebagai salah satu isyarat bahawa China telah jauh meninggalkan kebergantungan kepada teknologi era Soviet.

 

AS sedang membangunkan peluru berpandu AIM-260 Joint Advanced Tactical Missile melalui Lockheed Martin, sebahagiannya sebagai tindak balas kepada PL-15 dan keupayaannya menyerang luar jarak penglihatan sebagai sebahagian daripada penyesuaian semula keutamaan Barat terhadap ancaman dari China.

 

Negara-negara Eropah pula sedang meneroka naik taraf pertengahan hayat bagi Meteor, yang menurut penerbitan khas Janes mungkin melibatkan sistem panduan dan pendorong, tetapi kemajuan dikatakan perlahan.

 

Pada Mac lalu, Presiden AS Donald Trump menganugerahkan kontrak kepada Boeing untuk membina jet pejuang tercanggih Tentera Udara AS setakat ini yang dijangka menggabungkan teknologi siluman, sensor canggih dan enjin generasi baharu.— REUTERS

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Nurul Izzah uji arah baharu kepimpinan PKR

Next Post

Lambakan kuil di fasiliti KKM, siapa sebenarnya bertanggungjawab?

Related Posts