Mantan Menteri, Timbalan Menteri tolak cadangan RCI Rafizi

BANGI,12 MUHARRAM — Seorang bekas Menteri dan seorang mantan Timbalan Menteri Undang-Undang menolak cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) seperti yang diutarakan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan beberapa Ahli Parlimen PKR semalam.

Hanipa Maidin, yang berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Undang-Undang semasa zaman Pakatan Harapan 1.0, berkata bahawa beliau tidak menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap penubuhan RCI yang dicadangkan oleh Rafizi, sebaliknya beliau bersetuju sekiranya isu pelantikan kehakiman lebih sesuai ditangani melalui penubuhan jawatankuasa khas Parlimen. 

Katanya, penubuhan RCI akan melibatkan kos yang tinggi dan akhirnya membebankan rakyat kerana perbelanjaannya yang turut ditanggung oleh mereka.  

“Saya rasa RCI tak perlulah, sebab RCI ni bagi saya akan memakan belanja yang banyak. Kita terpaksa bayar. Sekarang rakyat pun tengah susah. 

“Buat apa kita buang duit untuk buat RCI? Kita kalau boleh nak kurangkan atau baiklah duit itu kita tolong rakyat daripada kita buat RCI,” katanya kepada TV Pertiwi. 

Tambah beliau, sekiranya jawatankuasa khas Parlimen benar-benar ditubuhkan dan memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi penjelasan berhubung isu pelantikan kehakiman, beliau berharap sidang itu dapat disiarkan secara langsung agar masyarakat dapat melihat dan menilai sendiri penjelasan yang diberikan.

Sebelum ini Rafizi bersama lapan Ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim serta beberapa keputusan kes mahkamah.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Rafizi berkata  menjadi tanggungjawab mereka untuk mempertahankan kebebasan institusi kehakiman serta prinsip pengasingan kuasa antara tiga cabang kerajaan iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Ia di sebalik kekosongan hakim-hakim kanan susulan persaraan beberapa hakim termasuk Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat. 

Dalam perkembangan sama, Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Zaid Ibrahim berkata, walaupun RCI sepatutnya menjadi alat pencarian kebenaran dan reformasi institusi, realitinya di Malaysia ia sering berubah menjadi sandiwara politik. 

Beliau berkata, ia sekadar asap untuk melindungi ketidak bertindakan, pengalihan isu, atau kelewatan, seperti yang berlaku dalam RCI Batu Puteh yang diumumkan dengan gah tetapi dibiarkan terbengkalai.

“Tanpa sebarang penerbitan hasil siasatan, tindakan susulan atau akauntabiliti. Begitu juga dengan RCI sebelum ini dari Wang Kelian hingga pelantikan kehakiman, semuanya menjadi catatan yang dilupakan.

“Coraknya jelas: Perdana Menteri mengawal terma siasatan, melantik suruhanjaya (yang selalunya pilihan selamat dari segi politik), dan memilih saranan mana yang hendak diabaikan.

“Jadi ya, RCI di Malaysia bukan tentang keadilan; ia langsung tidak berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan bahawa undi tidak percaya kepada perdana menteri adalah mekanisme demokrasi yang lebih baik berbanding penubuhan RCI.

Katanya, walaupun usul sebegitu mungkin gagal, ia tetap memaksa perbahasan terbuka di Parlimen, menunjukkan kepada Perdana Menteri bahawa beliau bukan kebal, dan memberi isyarat kepada rakyat bahawa masih ada yang berani melawan.

“Ia mungkin dapat membendung lawatan luar negara tanpa henti dan diplomasi bersifat menunjuk-nunjuk. 

“Tiada apa yang lebih mendorong seorang Perdana Menteri untuk lebih serius terhadap hal ehwal dalam negeri selain ancaman kredibel untuk kehilangan jawatan,” katanya.


Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tarif tambahan 10% untuk negara sehaluan dasar anti-Amerika BRICS

Next Post

Israel, AS berpakat usir rakyat Palestin dari Gaza secara sistematik

Related Posts