BANGI, 16 ZULHIJJAH — Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kemungkinan penipuan dan salah guna kuasa yang berlaku dalam siasatan dan pendakwaan ke atas Muhammed Yusoff Rawther.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sejak awal lagi pendakwaan ke atas bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, menimbulkan keraguan dan jika terbukti, mereka yang terlibat dan dalang utama mesti dihukum dengan seberat-berat hukuman.
Menurutnya, kes ini berkait rapat dengan saman sivilnya ke terhadap Anwar berhubung dakwaan gangguan seksual dengan butiran kes sivil ini mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa.
Katanya, bukti yang dikemukakan di mahkamah oleh pihak pendakwaan untuk mensabitkan kesalahan jenayah yang kononnya dilakukan oleh Yusoff adalah amat diragui dan ini menimbulkan persepsi awam bahawa pendakwaan itu adalah satu konspirasi jahat pihak-pihak tertentu untuk menutup mulutnya berkait saman sivilnya terhadap Perdana Menteri.
“Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Datuk Muhammad Jamil Hussin yang melepas dan membebaskan Yusof Rawther tanpa perlu membela diri mengesahkan keraguan ini.
“Pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, berkemungkinan besar kerana bukti-bukti yang dikemukakan adalah direka untuk mensabitkan kesalahan. Ini adalah bukti jelas kebobrokan kuasa,” katanya, hari ini.
Dalam kenyataan medianya, Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada Hakim Mahkamah Tinggi yang berani membuat keputusan berasaskan prinsip undang-undang dan keadilan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut mempersoalkan institusi negara dan instrumen undang-undang digunakan secara rakus tanpa sedikit pun rasa malu dan belas ihsan untuk menganiaya seorang rakyat yang tidak bersalah semata-mata untuk melindungi sang penguasa.
Lebih mengecewakan, katanya tuduhan jenayah berat terhadap Yusoff Rawther yang membawa hukuman penjara seumur hidup digunakan.
Katanya, undang-undang dan institusi negara yang sepatutnya menjadi pelindung rakyat dan penegak keadilan ditukar menjadi alat kezaliman oleh rejim Madan, manakala janji reformasi dan keadilan untuk semua adalah hipokrasi terbesar rejim ini.
“Saya bimbang Malaysia berkemungkinan menjadi negara gestapo dengan kewujudan anasir-anasir tidak senonoh dalam agensi-agensi penguatkuasa yang mengikut telunjuk penguasa politik mereka secara membuta tuli.
“Untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara hukum, adalah penting agensi-agensi penguatkuasa yang tugasnya adalah semata-mata untuk menegakkan undang-undang dan keadilan dibersihkan daripada anasir-anasir jahat ini. Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya.
Beliau berkata, susulan pembebasan Yusof Rawther, mesti ada jaminan daripada pihak berkuasa bahawa keselamatannya mesti dilindungi.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi