Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Jumaat – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM13 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang akan memberi manfaat kepada 9 juta penerima atau 60% rakyat Malaysia.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu adalah peningkatan berbanding RM10 bilion yang diperuntukkan sebelum ini.
Menurut Anwar yang juga Perdana Menteri, seramai 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan berbanding 700,000 penerima sebelum ini.,
“Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKAD penerima bermula April 2025 dan dan ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan, minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 6600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.
“Kategori bujang akan menerima STR RM600. Penambahan peruntukan RM3 bilion membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 ketimbang RM3,700,” katanya pada sesi Pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan juga memperuntukan bantuan tunai lebih tinggi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM2.9 bilion berbanding RM2.4 bilion.
Katanya, kadar bantuan kebajikan bulanan kepada rakyat miskin akan ditingkatkan yang mana kadar bantuan warga emas dinaikkan kepada RM600 sebulan berbanding RM500 sebelum ini.
Selain itu, kadar bantuan kanak-kanak keluarga miskin turut dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 seorang bagi anak berusia 6 tahun ke bawah serta kenaikan daripada RM150 kepada RM200 seorang bagi anak lingkungan usia 7 hingga 18 tahun.
Jelasnya, ia tertakluk kepada kadar maksimum RM1,000 sekeluarga.
Tambah beliau, kadar bantuan am di Wilayah Persekutuan juga dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100 dengan kadar maksimum RM500 sebulan.
“Jika dihitung keseluruhan bantuan STR, SARA dan JKM, isi rumah miskin dengan tiga anak layak menerima bantuan lebih RM13,000 setahun, yakni suatu peningkatan amat ketara ketimbang RM11,000 pada masa ini.
“Untuk warga emas miskin pula layak menerima bantuan lebih RM10,000 setahun berbanding RM8,000.
“Ini bermakna tiada rakyat di Malaysia yang berpendapatan kurang RM1,100 sebulan dan ini belum mengambil kira bantuan daripada kerajaan Negeri, zakat dan yayasan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar mengumumkan bahawa bayaran STR 2024 fasa 4 akan disalurkan kepada penerima bermula 7 November depan melibatkan peruntukan RM1.7 bilion.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI