TEHRAN, 17 ZULHIJJAH – Iran melancarkan gelombang serangan peluru berpandu ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap serangan udara rejim Zionis yang menyasarkan beberapa lokasi strategik negara itu, antaranya kemudahan tentera dan tapak nuklear.
Menurut laporan media antarabangsa, serangan balas dari Tehran pada awal pagi Sabtu menyebabkan dua warga Israel – seorang lelaki dan seorang wanita – terbunuh, manakala puluhan lagi cedera apabila peluru berpandu mengenai kawasan kediaman di Rishon Lezion, sebuah bandar berhampiran Tel Aviv.
Pasukan penyelamat Israel dikerahkan untuk mencari mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan apartmen yang musnah akibat serangan itu.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, menuduh kepimpinan Iran “melampaui batas” kerana menyasarkan orang awam, dan memberi amaran bahawa Iran akan “membayar harga yang mahal” atas tindakan tersebut.
Dalam kejadian berasingan, serangan peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman oleh gerakan Houthi yang disokong Iran telah mengorbankan lima rakyat Palestin, termasuk tiga kanak-kanak, di wilayah Tebing Barat yang diduduki Israel, menurut Bulan Sabit Merah Palestin.
Di Iran pula, beberapa letupan kuat kedengaran di ibu negara Tehran malam tadi, menurut laporan agensi berita separa rasmi Tasnim.
Dua peluru berpandu dilaporkan telah mengenai Lapangan Terbang Mehrabad, yang turut menempatkan pangkalan udara Tentera Udara Iran. Beberapa kebakaran dilaporkan berlaku di kawasan itu.
Wakil Tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani berkata, sebanyak 78 rakyat Iran termasuk pegawai kanan tentera terbunuh dalam serangan udara Israel sebelum ini, manakala lebih 320 lagi cedera – kebanyakannya orang awam.
Serangan peluru berpandu Iran pada Sabtu adalah gelombang ketiga selepas dua serangan sebelumnya pada malam Jumaat, lapor agensi Fars. Salah satu gelombang itu menyasarkan Tel Aviv sebelum subuh, dan letupan dilaporkan turut kedengaran sejauh Baitulmaqdis.
Iran menyatakan serangan balas ini adalah tindak balas langsung terhadap serangan awal Israel ke atas tokoh ketenteraan, saintis nuklear serta tapak-tapak strategik di Iran pada Jumaat. Walaupun Israel mendakwa Iran menjalankan program senjata nuklear secara rahsia, Teheran bertegas bahawa aktiviti pengayaan uraniumnya hanya untuk tujuan keamanan dan awam.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi