Felda Gunung Besout dapat semula ambulans selepas 3 tahun – Exco Perak

BANGI, 17 ZULHIJJAH – Kira-kira 12,000 penduduk Felda Gunung Besout, Slim River, Perak bakal menikmati kemudahan ambulans semula setelah tiga tahun perkhidmatan itu dihentikan.

Perkara itu disahkan oleh Exco Kesihatan Negeri Perak, Sivanesan Achalingam kepada TV Pertiwi menerusi satu panggilan telefon.

Beliau mengesahkan satu surat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perak yang menyatakan satu ambulans bakal dipinjamkan kepada Klinik Kesihatan Felda Gunung Besout (KKFGB) dari Klinik Kesihatan Tanjung Malim.

“Saya sendiri akan membuat penyerahan ambulans itu pada Isnin ini di Felda Gunung Besout,” katanya.

Katanya, ia selari dengan jawapan yang diberikan di Dewan Undangan Negeri bahawa satu ambulans dijangka diberikan kepada KKFGB menjelang pertengahan tahun ini.

Surat itu turut disahkan oleh seorang pegawai komunikasi Kementerian Kesihatan Malaysia.

“KKM telah pun mengambil tindakan sewajarnya di peringkat negeri Perak dengan menggerakkan sumber-sumber sedia ada,” katanya.

Menerusi surat yang dilihat TV Pertiwi, ambulans itu bakal dipinjam bermula 16 Jun ini sehingga terdapat penggantian ambulans di KKFGB.

Sekiranya ambulans yang dipinjam tersebut rosak, ambulans dari beberapa hospital terdekat akan dipinjamkan bergantung kepada tempoh masa yang ditetapkan.

Surat tersebut turut menyatakan bahawa masalah kekurangan ambulans berlaku hampir di semua hospital dan klinik di Perak.

Sebelum ini, TV Pertiwi melaporkan sekumpulan penduduk di penempatan itu menjalankan satu kempen yang telah berjaya mengumpul hampir 1,000 tandatangan. Kempen tersebut difahamkan telah mengumpul lebih 2,000 tandatangan, menurut salah seorang ahli jawatankuasa kempen.

Penduduk Felda Gunung Besout, terutamanya warga emas dan pesakit kronik, berdepan kesukaran mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik susulan kerosakan ambulans sedia ada di KKFGB.

“Dalam kes seperti serangan jantung, hipoglisemia atau kemalangan jalan raya, setiap saat sangat berharga. Namun, ketiadaan ambulans menyebabkan kelewatan mendapatkan rawatan kecemasan yang boleh mengancam nyawa,” menurut wakil jawatankuasa bertindak ambulans Felda Gunung Besout, Hairi Nizam Miran kepada TV Pertiwi sebelum ini.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwihttp://t.me/tvpertiwi

Berita terdahulu: https://tvpertiwi.com/2025/06/11/penduduk-felda-gunung-besout-kumpul-900-tandatangan-mohon-perkhidmatan-ambulans/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Letupan gegar Tel Aviv, Iran lancar peluru berpandu

Next Post

Lebih 400 terbunuh, Iran tolak rundingan gencatan senjata dengan Israel

Related Posts