JUMAAT, 10 DISEMBER – Lembaga Waqaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB) bertegas untuk mengadakan perarakan pedati berhala sempena sambutan Thaipusam pada 18 Januari depan meskipun mendapat larangan Kerajaan Persekutuan berikutan negara sedang berdepan ancaman varian baharu Covid-19, Omicron ketika ini.
Pengerusinya, Profesor Doktor P Ramasamy menempelak larangan perarakan berhala tersebut sebagai tidak masuk akal.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan larangan tersebut yang diumumkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Menurutnya, Halimah bukan dalam posisi yang tepat untuk menghargai kepentingan perarakan itu memandangkan beliau bukan seorang Hindu.
Tambahnya, Thaipusam tidak ada kepentingan atau makna tanpa perarakan pedati.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat permainan politik dalam pengumuman ini, memandangkan pada sambutan Thaipusam tahun lalu, perarakan tersebut tiba-tiba dibenarkan bagi Batu Caves dan kuil-kuil Chettiar di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang setelah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan campur tangan.