GAZA, 16 Zulhijjah 1446H – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis menggesa gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza, serta menuntut akses bantuan kemanusiaan – meskipun ditentang Amerika Syarikat dan sekutunya, termasuk Israel.
Resolusi itu diluluskan selepas Majlis Keselamatan PBB gagal meluluskan usaha serupa minggu lalu akibat kuasa veto Amerika Syarikat. Dalam pengundian terbaru, seramai 149 negara mengundi menyokong, 19 berkecuali, manakala AS, Israel dan 10 negara lain menolak usul berkenaan.
Perhimpunan Agung yang dianggotai 193 negara turut menuntut pembebasan semua tebusan yang ditahan oleh pejuang Islam Hamas di Gaza, pemulangan tahanan Palestin dari penjara Israel, serta pengunduran sepenuhnya tentera Zionis dari wilayah berkenaan.
Resolusi itu turut mengecam keras tindakan menyasarkan orang awam, termasuk menggunakan kebuluran sebagai senjata perang dan menghalang bantuan kemanusiaan secara haram.
Menurut teks resolusi: “Mengecam sekeras-kerasnya penggunaan kebuluran terhadap orang awam sebagai kaedah peperangan, penafian akses kemanusiaan secara haram dan tindakan menghalang bantuan serta keperluan penting bagi kelangsungan hidup orang awam.”
Duta Israel ke PBB, Danny Danon, menyifatkan tindakan Perhimpunan Agung itu sebagai “fitnah berdarah” dan menyeru negara-negara anggota agar tidak menyertai “sandiwara” yang menurutnya melemahkan rundingan pembebasan tebusan serta gagal mengecam Hamas.
“Tindakan ini adalah fitnah berdarah. Kegagalan untuk mengaitkan gencatan senjata dengan pembebasan tebusan memberi isyarat kepada setiap organisasi pengganas bahawa menculik orang awam adalah berkesan,” katanya.
Minggu lalu, Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan PBB yang turut menuntut gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat serta akses bantuan tanpa halangan di Gaza, dengan alasan ia akan mengganggu usaha rundingan damai yang dipimpin Washington.
Sebanyak 14 anggota lain Majlis Keselamatan menyokong draf tersebut – ketika Gaza terus menghadapi krisis kemanusiaan yang semakin parah – dengan PBB memberi amaran bahawa kebuluran semakin menghampiri, sementara bantuan hanya memasuki Gaza secara perlahan selepas Israel menamatkan sekatan selama 11 minggu bulan lalu.
Sejak Oktober 2023, Perhimpunan Agung PBB secara konsisten menggesa gencatan senjata di Gaza, bermula dengan sokongan 120 negara. Ia meningkat kepada 153 negara pada Disember 2023, dan seterusnya 158 negara yang menyokong gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan berkekalan pada Disember 2024.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi