Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 13 Rejab — Rundingan gencatan senjata dijangka bakal membuahkan hasil selepas Israel dilaporkan bersetuju untuk mengundurkan tenteranya dari Gaza.
Tentera penjajah Israel (IOF) dilaporkan sedang merangka beberapa rancangan mengundurkan pasukannya bagi merealisasikan perjanjian gencatan senjata, lapor portal Haaretz.
“IOF menekankan kesiapan mereka untuk melaksanakan apa pun perjanjian yang dicapai oleh kerajaan dan kumpulan rundingan Palestin.
“Ia termasuk pengunduran pasukan tentera dari Gaza,” memetik sumber IOF kepada akhbar itu semalam.
Perjanjian yang bakal termeterai akan menyaksikan Israel berundur dari Koridor Netzarim, kawasan pencerobohan IOF di Gaza.
IOF mendakwa mereka bersedia mengundurkan pasukannya di koridor yang berkeluasan 56 kilometer persegi itu demi menjayakan gencatan senjata.
Media Israel sebelum ini melaporkan 90 peratus butiran perjanjian pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas sudah dimuktamadkan.
Perdana Menteri Israel kelmarin mengumumkan delegasi kanan dihantar ke Qatar bagi memuktamadkan rundingan gencatan senjata.
Benjamin Netanyahu berkata delegasi itu disertai Ketua Mossad David Barnea, Pengarah Shin Bet Ronen Bar, Ketua Tebusan Tentera Nitzan Alon dan penasihat politiknya Ophir Falk.
Keputusan menghantar delegasi kanan itu dibuat selepas Netanyahu menilai keadaan semasa bersama pegawai kanan AS.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: