Oleh Wartawan TV Pertiwi
Menteri Dalam Negeri mengesahkan dua tahanan lelaki yang pernah berada di Teluk Guantanamo, Cuba sudah berada di Malaysia.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dua lelaki warganegara Malaysia itu diserahkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) selepas ditahan sejak 2006.
“Kerajaan merangka satu program reintegrasi yang komprehensif khusus untuk kedua-dua individu berkenaan merangkumi perkhidmatan sokongan, kebajikan dan kesihatan.
“Kementerian Dalam Negeri merakam ucapan penghargaan kepada pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam menyempurnakan proses penyerahan kedua-dua warganegara Malaysia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang disiarkan di aplikasi X hari ini.
Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera AS ekoran insiden pengeboman di Bali, Indonesia pada Oktober 2002.
Mereka juga didakwa terlibat dalam insiden pengeboman kawasan Hotel JW Marriott, Jakarta pada Ogos 2003 yang melibatkan mangsa korban keseluruhan seramai 202 orang.
Nazir dan Farik pada mulanya ditahan di Thailand pada 2003 sebelum dikurung oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI