BANGI, 8 ZULHIJJAH — “Saya sedang menikmati kehidupan yang baik sekarang, kenapa saya nak tinggalkan ini?” kata Khairy Jamaluddin.
Ketika ditemui wartawan pada majlis pelancaran serbuk minuman 3 dalam 1 Tealive di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya hari ini, mantan Ketua Pemuda UMNO menegaskan sedang menikmati kehidupan yang baik sebagai pengendali ‘podcast’ dan penyampai radio.
Bekas Menteri Kesihatan itu kelihatan memilih untuk mengunci mulut berikutan desas-desus beliau bakal menyertai Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baru-baru ini Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan selepas tewas dalam pemilihan PKR.
Beberapa laporan media kemudian melaporkan, Khairy yang merupakan bekas Ahli Parlimen Rembau bakal kembali sebagai menteri.
Mengulas gesaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mana-mana individu Melayu termasuk ahli parti lain untuk menyertai gerakan Sekretariat Orang Melayu, Khairy enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.
“Saya bukan ahli Perikatan Nasional (PN) dan juga bukan ahli UMNO buat masa sekarang. Seeloknya saya tak komen, kita fokus kepada pelancaran ini,” katanya.
Semalam, Dr Mahathir memaklumkan satu gerakan yang dinamakan Sekretariat Orang Melayu dibentuk bagi menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib orang Melayu di bawah satu payung besar.
Dr Mahathir berkata, inisiatif itu adalah satu langkah untuk mengembalikan kuasa politik dan cabaran yang dihadapi orang Melayu.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi