Oleh : Wartawan TV Pertiwi
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberi jaminan virus cacar monyet atau Mpox yang kini dalam perhatian dunia tidak akan mengulangi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang pernah berlaku ketika penularan Covid-19 lebih kurang lima tahun lalu.
Katanya sehingga kini tiada lagi kes positif baharu daripada individu yang disyaki sebelum ini.
Menurut Malaysia Gazette, bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya seluruh rakyat Malaysia tidak memandang ringan situasi semasa, sebaliknya sentiasa berwaspada terhadap virus berkenaan.
“Saya sebagai menteri kerap diasak untuk meningkatkan prosedur operasi standard (SOP), insya-Allah Mpox tidaklah akan mengulangi waktu yang sangat kita (elak) kehidupan terjejas seperti sebelum ini.
“Jangan risau tidak akan ada MCO (lockdown) (seperti) dalam era pandemik Covid-19 namun saya juga mahu ingatkan semua jangan pula terlalu selesa kita tahu transisi (jangkitan) virus ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ulang Tahun Ke-20 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.
Menurut Dzulkefly, sehingga kini KKM telah membuat saringan mpox terhadap hampir enam juta pengembara yang masuk ke negara ini.
“Ini melibatkan saringan pintu-pintu masuk antarabangsa laut, udara dan darat. Sehingga hari ini Alhamdulillah Allah izinkan kita tidak lagi mendapat satu kes positif daripada mereka yang kita syaki,” jelas beliau.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan itu berharap situasi Mpox di negara ini tidak dibandingkan dengan negara jiran, khususnya Singapura bagi mengelakkan suasana menggusarkan.
Sehingga lima hari yang lalu, sebanyak 14 kes Mpox dilaporkan menular di Singapura. – Malaysia Gazette
Kenapa perlu bayar lebih, IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA. Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#jiwa merdeka # TVPertiwi #mpox #KKM