Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Selasa – Kerajaan menafikan dakwaan penyelarasan subsidi bersasar bagi petrol RON95 yang bakal dilaksanakan pada pertengahan tahun depan adalah berdasarkan pendekatan ‘umum dulu, kaji kemudian’.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan telah melaksanakan projek rintis penggunaan kad pengenalan dan e-dompet bagi stesen-stesen minyak terpilih pada 2022 dan 2023.
Namun, lokasi stesen minyak itu tidak dikongsikan.
Malah, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) juga telah digunakan untuk beberapa kes.
“Sebenarnya masa kajian separuh penggal dibentangkan di Dewan ini pada September 2023 lagu pun kerajaan telah meletakkan bahawa penyasaran semula subsidi adalah asas utama reformasi dan pembaharuan ekonomi untuk mengukuhkan fiskal kerajaan.
“Cuma kita buat secara berfasa, bermula dengan diesel, kemudian RON, kecuali Ahli Parlimen pembangkang tidak baca pun kajian separuh penggal yang dibentangkan itu.
“Tidak timbul soal perkara ini ‘umum dahulu kemudian baru buat,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat Hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman yang bertanya sama ada kerajaan sudah mengkaji sebaik-baiknya pelaksanaan subsidi bersasar petrol atau terdapat model dari negara lain yang boleh dijadikan sebagai contoh terbaik.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, tiada negara luar yang mempunyai sistem bersubsidi yang begitu luas seperti Malaysia kecuali Brunei.
Katanya, hampir semua negara di dunia telah beralih kepada harga pasaran bagi penjualan petrol.
“Jadi, sebab itu, kalau kita nak jadi rujukan, memang kitalah jadi rujukannya kerana negara lain tiada ada situasi yang ada seperti di Malaysia.
“Hampir semua negara di dunia menggunakan kaedah pindahan tunai iaitu mengapungkan harga kemudian memberikan balik sumbangan itu dalam bentuk tunai bulanan yang telah dipertimbangkan oleh kerajaan dan diputuskan bahawa itu ada risiko besar kenaikan harga barang.
“Sebab itu kerajaan memilih cara yang ada sekarang,” tambahnya.
Dalam pada itu, Rafizi menjelaskan penggunaan PADU digunakan untuk mengenal pasti sekitar 40% daripada golongan B60 tidak memiliki pendaftaran kenderaan.
Justeru, katanya, ini akan menyebabkan risiko keciciran yang besar sekiranya kerajaan ingin melaksanakan penyasaran subsidi RON95 berdasarkan pendaftaran kenderaan.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI