Henti segera projek RM900 Juta di Seksyen 24

Oleh Ziauddin Sharuddin

 

BANGI, 9 ZULKAEDAH – Projek pembangunan bercampur bernilai hampir RM900 juta di Seksyen 24, Shah Alam mendapat kritikan kerana didakwa mengancam kesejahteraan penduduk serta mengabaikan kelestarian alam sekitar.

 

Projek itu diterajui oleh Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) bersama Lion Posim Berhad.

 

Tapak projek di kawasan dataran rendah berhampiran Sungai Klang sebelum ini dikatakan berperanan sebagai zon takungan semula jadi bagi mengawal limpahan air hujan. 

 

Tindakan menimbun kawasan tersebut bagi pembangunan hartanah disifatkan sebagai langkah berisiko tinggi, terutama dalam konteks perubahan iklim dan banjir kilat yang kerap melanda ibu negeri Selangor.

 

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, projek pembangunan itu akan memberi kesan berganda kepada komuniti setempat tanpa pelan jelas bagi menampung keperluan fasiliti awam seperti sekolah dan masjid.

 

Katanya, projek ini dijangka membawa masuk hampir 10,000 penduduk baharu, sedangkan infrastruktur sedia ada sudah pun sesak.

 

“Lebih membimbangkan, tempoh pembinaan selama 10 tahun akan menjadi beban berpanjangan kepada penduduk dengan gangguan bunyi, pencemaran debu, risiko keselamatan dan tekanan psikologi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau turut menyifatkan kelulusan projek itu sebagai kegagalan pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang diterajui Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam mengutamakan kebajikan rakyat melebihi keuntungan hartanah.

 

“Kita lihat, sekali lagi kerajaan negeri mengulangi kesilapan projek seperti River of Life dengan estetika diutamakan, tetapi ekologi dan komuniti diketepikan,” katanya.

 

Sehubungan itu, beliau berkata Pemuda PAS Selangor dan PAS Kawasan Shah Alam menuntut agar projek pembangunan itu segera dibatalkan, manakala kawasan dataran banjir dan kolam takungan dipelihara sebagai zon ekologi kritikal dan komuniti setempat diberi ruang sepenuhnya dalam proses perancangan pembangunan akan datang.

 

Mohamed Sukri turut memberi amaran bahawa kenyataan ini hanya langkah awal dan pihaknya akan meneruskan tindakan susulan jika tiada maklum balas daripada kerajaan negeri.

 

“Kita tidak menolak pembangunan, tetapi menolak pendekatan tidak bijaksana yang merugikan rakyat dan memusnahkan alam sekitar atas nama kemajuan,” katanya.

 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

KTMB sedia tren khas ke Pantai Timur sempena Aidiladha

Next Post

PM minta KKM teliti perkara dibangkitkan pengamal perubatan swasta

Related Posts