Oleh: Balqis Idris
BANGI, 26 SYAWAL — Umat Islam di Malaysia diseru agar terus teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dan tidak berputus asa demi mencapai pembebasan sepenuhnya daripada penjajahan rejim Zionis, kata Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP).
Pengerusinya, Muhammad Fauzi Asmuni berkata, perjuangan pembebasan Palestin bukan sekadar isu kemanusiaan, namun melibatkan prinsip keadilan, hak milik tanah, dan penolakan terhadap penjajahan tersebut.
Katanya, pembebasan Palestin sepenuhnya merupakan hak mutlak rakyat Palestin yang telah dinafikan sejak sekian lama.
“Seruan saya kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Islam yang merupakan saudara kepada rakyat Palestin dari sudut akidah, dan juga kepada rakyat Malaysia secara umum yang bersaudara dari sudut kemanusiaan.
“Kita mesti memahami bahawa matlamat terakhir dalam isu ini adalah pembebasan Palestin sepenuhnya, kerana itu adalah hak mereka.
“Mereka telah dijajah berpuluh-puluh tahun, dinafikan hak, dan dihalau dari penempatan asal mereka. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan perjuangan ini tidak terhenti sehingga mereka kembali ke tanah air sendiri,” katanya kepada TV Pertiwi.
Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, rakyat Malaysia tidak perlu mengangkat senjata di medan pertempuran, namun penglibatan dalam bentuk solidariti dan sokongan berterusan sangat diperlukan untuk menyokong perjuangan Palestin.
Jelas beliau, rakyat Malaysia boleh menyumbang melalui bantuan kemanusiaan, sokongan moral, boikot produk Israel, dan penyebaran naratif sebenar tentang Palestin.
“Penglibatan kita sebagai orang Malaysia, kita mungkin tidak diperlukan dalam mengangkat senjata di Palestin, tetapi kita amat diperlukan untuk menunjukkan solidariti dan memberikan sokongan kewangan, dan bermacam-macam jenis sokongan yang lain.
“Boikot, bantuan kemanusiaan, moral support dan minggu-minggu solidariti dan juga kempen menyebarkan naratif yang betul, ini semua adalah merupakan peranan yang boleh kita mainkan dan moga-moga peranan ini menyamai peranan orang-orang Palestin yang duduk di barisan hadapan,” katanya lagi.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi