Israel lancar operasi ketenteraan baharu di utara Tebing Barat

TUBAS (Tebing Barat), 6 JAMADILAKHIR – Tentera Zionis Israel menceroboh bandar ini dan mengarahkan sebahagian penduduk Palestin keluar dari rumah mereka, serangan terbaharu dalam kempen berbulan-bulan di bandar sekitar utara Tebing Barat.

Gabenor Tubas, Ahmed Al-Asaad berkata, tentera Israel disokong sebuah helikopter melepaskan tembakan, mengepung bandar itu dan membina kedudukan di beberapa kejiranan.

“Pencerobohan ini nampaknya akan berlarutan; pasukan penjajah (Israel) mengusir orang ramai dari rumah mereka, merampas bumbung bangunan untuk dijadikan kedudukan, dan menjalankan tangkapan,” katanya.

Tentera Israel berkata, operasi yang dijalankan bersama polis dan unit perisikan bermula semalam selepas “pengesanan awal risikan mengenai usaha mewujudkan” kubu serta infrastruktur pejuang Palestin.

Selain itu, mereka mendakwa menemui “bilik kawalan pemerhatian” ketika melakukan pemeriksaan di puluhan rumah di Tebing Barat yang diduduki.

Kenderaan tentera Israel dilihat bergerak dalam bandar, dengan anggota tentera meronda jalan raya sambil membawa raifal dan pelancar roket. Anggota tentera turut kelihatan di bandar Tammun berdekatan.

Penduduk Palestin ditahan, tentera dirikan sekatan jalan

Al-Asaad berkata, pasukan Israel mengarahkan penduduk yang dihalau keluar supaya tidak pulang sehingga operasi tamat, yang dijangka berlarutan selama beberapa hari.

“Mereka sedang meneruskan usaha untuk mengukuhkan kawalan sepenuhnya ke atas bandar,” katanya sambil memaklumkan tentera Israel mendirikan sekatan jalan dan setakat ini menahan sekurang-kurangnya 22 penduduk Palestin.

Tebing Barat merupakan kediaman kepada 2.7 juta rakyat Palestin yang mempunyai autonomi terhad di bawah pendudukan tentera Israel. Ratusan ribu warga Israel turut menetap di kawasan itu.

Serangan semalam adalah lanjutan operasi ketenteraan yang dilancarkan pasukan Israel di beberapa bahagian utara Tebing Barat tahun ini, bermula dengan bandar Jenin pada Januari, beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kembali ke Rumah Putih.

Ribuan penduduk Palestin dipaksa keluar dari rumah mereka, dengan pasukan Israel mengosongkan kem pelarian serta mengekalkan kehadiran paling lama dalam beberapa bandar di Tebing Barat dalam tempoh berdekad.

Human Rights Watch bulan ini mendakwa Israel melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berhubung apa yang didakwa sebagai pengusiran paksa. Israel menafikan dakwaan tersebut.

Keganasan oleh peneroka Israel terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat turut meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Peneroka jarang ditahan atau didakwa.

Hamas, yang bersetuju dengan gencatan senjata dengan Israel di Gaza bulan lalu, mengecam operasi terbaharu di Tebing Barat dan menyeru masyarakat antarabangsa campur tangan untuk menghentikannya.– REUTERS

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

PM terbabit dalam konspirasi jahat guna kes rasuah? Ini lebih membimbangkan – Muhyiddin

Next Post

Hormat pelabur tak bermaksud boleh gadaikan maruah bahasa Melayu – PERKASA

Related Posts