Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 27 RAMADAN – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dijangka akan meminta META, syarikat pengendali laman Facebook, untuk menutup sebuah kumpulan yang memantau pembinaan kuil haram di seluruh negara, TVPertiwi diberitahu.
Tindakan itu dipercayai diambil susulan pertemuan dengan seorang pentadbir kumpulan Facebook ‘Rumah Ibadat Haram Dibina Di Mana Hari ini?’ malam tadi di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya yang berlangsung dari 8 malam hingga 3 pagi.
Pentadbir tersebut yang dikenali sebagai Tamim memaklumkan tindakan SKMM tersebut kepada TVPertiwi.
“Saya dipanggil atas kesalahan dari segi Akta 588 SKMM. Ada komen dari ahli kumpulan yang berbaur 3R.
“Atas budi bicara, saya tak didakwa atas Akta Hasutan, dengan syarat padamkan kumpulan itu dan serahkan telefon.
“Kumpulan itu tiada butang ‘padam’, jadi SKMM akan minta META memadamkannya,” katanya merujuk kepada syarikat yang mengendalikan laman Facebook.
Kumpulan tersebut yang dibuat selepas polemik Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India tercetus baru-baru ini. Kuil itu berada di atas tanah milik syarikat fabrik terkemuka, Kumpulan Jakel yang mewakafkannya untuk pembinaan Masjid Madani.
Seorang peguam tiba selepas sesi memberi keterangan yang turut dihadiri oleh kira-kira enam ke tujuh pegawai SKMM. Tamim dimaklumkan, tindakan SKMM itu adalah “untuk kurangkan ketegangan kaum buat masa sekarang”.
Dia turut bersetuju untuk menyerahkan telefon bimbit miliknya.
Semakan TVPertiwi pada 28 Mac mendapati kumpulan tersebut telah dianggotai lebih 70,000 ahli yang berkongsikan kewujudkan kuil-kuil haram di seluruh negara, selain cara membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Kumpulan itu diwujudkan sebagai “ruang perbincangan awam berkaitan isu pembangunan, pemilikan tanah, dan struktur binaan tanpa kelulusan – tanpa mengira bangsa, agama, atau kepercayaan,” menurut penulisan di bahagian ‘about’.
Peraturan juga dikenakan agar ahli-ahli kumpulan tidak menghina mana-mana agama atau kaum selain menyebarkan kandungan bersifat hasutan atau provokasi.
Ekoran kontroversi yang melanda kumpulan itu, seorang pentadbir telah menghentikan seketika (pause) sebarang aktiviti bermula 27 Mac hingga 29 Mac.
Tamim memaklumkan, kumpulan itu menerima satu laporan berhubung satu hantaran yang mengundang komen provokasi.
TV Pertiwi sudah menghubungi SKMM dan masih menunggu untuk mendapatkan maklum balas.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi