Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 27 RAMADAN – Tinggal beberapa hari lagi untuk umat Islam menyambut ketibaan Syawal, menandakan pengakhiran Ramadan tahun ini.
Namun begitu, masih ramai yang tertanya-tanya mengenai hukum mengganti puasa meskipun berlaku kesilapan dari pihak masjid atau surau yang terkhilaf melaungkan azan Maghrib awal dari waktu sebenar.
Terdahulu, pendakwah bebas, Norazam Keling menjelaskan, hukum seseorang yang berbuka puasa sebelum waktu sebenar, iaitu sebelum matahari tenggelam sepenuhnya seperti yang ditetapkan oleh syarak, akan menyebabkan puasanya batal.
Beliau berkata, hal ini kerana syarat sah berbuka puasa adalah masuknya waktu Maghrib yang ditentukan dengan terbenamnya matahari secara keseluruhan.
“Seseorang yang berbuka puasa sebelum waktu sebenar, sama ada secara sengaja atau disebabkan kesilapan pihak lain – seperti azan yang berkumandang lebih awal melalui radio atau di masjid akibat kesilapan mauzzin atau DJ radio – tetap diwajibkan untuk menggantikan puasanya (qada).
“Ketetapan ini adalah selaras dengan kesepakatan ijma’ ulama dan para mufti di Malaysia yang menegaskan bahawa berbuka sebelum waktu Maghrib sebenar menyebabkan batalnya puasa.
“Hal ini juga seiring dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya kepada TV Pertiwi.
Ditanya sama ada seseorang itu berdosa kerana berbuka puasa awal kerana berpandukan azan dari masjid atau surau yang tersilap, Norazam berkata, tindakan itu dianggap sebagai ‘cuai’ sekiranya tidak memastikan sendiri masuknya waktu Maghrib.
Beliau berkata, ini kerana, ibadah puasa seperti ibadah-ibadah lain menuntut keyakinan dalam penentuan waktu berbuka.
“Oleh itu, seseorang perlu memastikan bahawa matahari benar-benar telah terbenam sebelum berbuka, bagi mengelakkan terbatalnya puasa akibat kekeliruan atau kesilapan dalam pengumuman waktu Maghrib.
“Selain itu, situasi juga menekankan kepentingan mempelajari ilmu fardu ain, khususnya dalam aspek ibadah seperti puasa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ilmu fadru ain adalah kewajipan individu kerana ia melibatkan perkara asas yang diperlukan dalam menjalankan tuntutan agama dengan sempurna.
Justeru, katanya, dalam konteks puasa, memahami hukum-hakam berkaitan waktu berbuka, rukun serta syarat sah puasa membantu seseorang untuk lebih berhati-hati dan mengelakkan kecuaian yang boleh menyebabkan batalnya ibadah.
Dalam pada itu, Norazam berkata, pemahaman yang mendalam mengenai fiqh ibadah termasuk tatacara menentukan masuknya waktu solat dan berbuka puasa dapat mengelakkan kecuaian yang boleh membawa kepada batalnya ibadah.
“Sebagai contoh, seseorang yang memiliki pengetahuan yang tepat tidak akan hanya bergantung kepada laungan azan semata-mata, tetapi turut memastikan bahawa matahari benar-benar telah terbenam sepenuhnya sebagaimana yang ditetapkan syarak.
“Sikap berhati-hati ini berlandaskan prinsip bahawa keyakinan dalam pelaksanaan ibadah adalah suatu tuntutan yang perlu diberi keutamaan.
Sebagai tambahan, beliau turut memberi contoh jadual taqwim yang dikeluarkan Jabatan Mufti Johor yang mana mereka ada turut masukkan memo dalam jadual supaya lewatkan sedikit dengan tambahkan beberapa minit dari ketetapan jadual taqwim asal sebelum berbuka puasa.
“Ini menunjukkan langkah berjaga-jaga bagi elakkan risiko terbuka puasa awal,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi